Jangan memilih-milih, agih bantuan secara adil

Jangan memilih-milih, agih bantuan secara adil

SEGALA bantuan yang diberikan oleh kerajaan harus diagihkan secara adil tanpa mengira fahaman politik mahupun perbezaan kaum dan agama.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai insentif dan inisiatif untuk membantu golongan yang memerlukan di negeri itu.

Kata beliau, antara lain ialah bantuan Kotak Harapan yang diperuntukkan kepada semua DUN melalui ADUN dan Penyelaras DUN.

Selain itu, Kerajaan Negeri Perak telah memperkenalkan satu insentif baharu iaitu Kad Makanan yang memperuntukkan RM80 setiap bulan kepada 17,000 penerima.

Hasnul berkata, jangan sesekali menafikan hak seseorang individu yang layak untuk menerima bantuan dengan alasan berbeza agama, kaum dan ideologi politik.

“Saya selaku Exco Kerajaan Negeri Perak mengharapkan bantuan-bantuan ini diagihkan secara adil oleh kepimpinan kerajaan kepada golongan memerlukan tanpa mengira fahaman politik.

“Ini kerana tindakan sedemikian tidak membawa aspirasi kerajaan Pakatan Harapan,” katanya ketika merasmikan Wacana Bajet Memenuhi Harapan di Batu Gajah baru-baru ini.

Beliau mengajak seluruh masyarakat beriman kepada pesanan Allah dalam Surah Al-Ma’idah ayat 8 yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kalian saksi yang adil karena Allah. Dan janganlah kebencian kalian terhadap suatu kaum menghalangi kalian berlaku adil. Berlaku adil-lah, karena perbuatan adil itu lebih dekat kepada taqwa.”

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )