KPM laksana pendidikan inklusif golongan minoriti

KPM laksana pendidikan inklusif golongan minoriti

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini menerima kemasukan pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) sebanyak 83,039 pelajar hasil dari dasar sifar penolakan yang diperkenalkan.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pendidikan kali ini melibatkan pendidikan inklusif yang tidak meminggirkan golongan minoriti, termasuk golongan OKU dan kanak-kanak tanpa dokumen.

Katanya setakat tahun ini, jumlah kemasukan pelajar tanpa dokumen mencapai sehingga 2, 635 murid yang berdaftar.

“Universiti awam juga tidak sesekali terpisah dari radar reformasi iaitu kluster-kluster bagi membolehkan universiti kita memperkukuhkan kekuatan, identiti dan kedayapasaran mereka.

“Saya juga tidak menafikan keluhan dan kegusaran siswazah kita apabila Laporan Bank Negara Malaysia baru-baru ini melontarkan isu gaji permulaan yang rendah.

“Di pihak KPM, isu ini diteliti secara serius dan beberapa perubahan sedang digerakkan secara agresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ucapan Wawasan Pendidikan sempena Konvensyen Kebangkitan Harimau Asia, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) , hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa KPM akan terus memperkasakan sistem yang boleh melahirkan siswazah yang berkualiti termasuk melihat semula kepada semua kursus dan jurusan yang ada.

Katanya ia membabitkan dari segi keperluan untuk memansuhkannya, dan menambah kursus-kursus baru yang lebih bersifat needs-driven.

“Yang pasti, kita komited untuk memastikan universiti dan siswazah kita benar-benar mampu untuk menyediakan produk yang terbaik dalam lingkaran industri, dan demi mendepani gelombang Revolusi Industri 4.0.

“Ini selari dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memastikan graduan kita ini, berdaya saing di pasaran antarabangsa dengan penguasaan Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang baik.

“Kita juga tidak akan melupakan TVET. Kita telah memastikan program di Kolej Vokasional misalnya memenuhi standard Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia.

“kita telah mewujudkan kerjasama antara Kolej Vokasional dan Politeknik, Kolej Komuniti serta Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia dari segi sumber, peralatan, fasiliti, tenaga pengajar dan kepakaran termasuklah penambahbaikan kurikulum,” ujarnya.

Beliau berkata demikian yang menambah bahawa ‘Harimau Asia’ akan kembali bangkit dan dan terus komited berganding bahu memberi sokongan padu, untuk merealisasikannya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )