Beri peluang kepada korporat dan swasta bantu pelajar tidak mampu beli makanan

Beri peluang kepada korporat dan swasta bantu pelajar tidak mampu beli makanan

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk membuka ruang dan peluang kepada sektor swasta dan korporat membasmi masalah pelajar yang tidak berkemampuan makan di sekolah khususnya peringkat menengah.

Menurutnya, berlaku banyak kes pelajar sekolah menengah yang tidak mampu makan di sekolah kerana ketidakmampuan mereka membeli makanan disebabkan oleh kedhaifan keluarga mereka.

Kata beliau, ketika di sekolah rendah pelajar-pelajar ini telah mendapat bantuan daripada kerajaan melalui program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Namun katanya, bantuan sedemikian tidak diperuntukkan di sekolah menengah menyebabkan permasalahan sedemikian berlaku.

“Kerajaan mestilah mengambil serius tentang isu ini kerana ia memberi impak yang tidak baik dan akan memberi kesan kepada masa depan pelajar-pelajar ini.

“Perlu ada usaha-usaha dalam membasmi masalah yang banyak berlaku di sekolah-sekolah khususnya di luar bandar.

“Alhamdulillah, Dr Maszlee sangat tertarik dan menyambut baik cadangan ini,” katanya.

Beliau telah mengutarakan pandangan dan cadangan tentang isu tersebut kepada Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik di Parlimen Malaysia baru-baru ini.

Bagi menarik minat dan kerjasama oleh sektor swasta dan korporat, Hasnul mencadangkan agar pihak kerajaan memberi tawaran tertentu kepada pihak tersebut antaranya pengecualian cukai dan sebagainya.

Hasnul yakin dan percaya, pihak sektor swasta dan korporat akan menyambut peluang dan tawaran tersebut seterusnya berjaya menyelesaikan masalah keciciran itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )