Perak jalin kerjasama dengan JOIN di Jepun

Perak jalin kerjasama dengan JOIN di Jepun

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meneruskan misi delegasi kerajaan negeri untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan Jepun melalui pertemuan dengan Perbadanan Pelaburan Infrastruktur Luar Negara Jepun (JOIN) bagi Sektor Pengangkutan dan Pembangunan Bandar.

Ahmad Faizal yang mengetuai delegasi kerajaan negeri telah mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JOIN, Takuma Hatano di Bangunan Marunouchi Nakadori, di sini bagi membincangkan potensi pelaburan dan kerjasama untuk pembangunan negeri Perak.

Dalam pertemuan itu, Ahmad Faizal telah mencadangkan beberapa bidang untuk jalinan kerjasama dengan agensi strategik kerajaan Jepun itu, khususnya dalam sektor logistik dan pembangunan kawasan bandar di Perak.

JOIN adalah agensi strategik kerajaan Jepun yang terlibat secara aktif dalam pembangunan infrastruktur global.

“Kita percaya, kepakaran dan penyelesaian berasaskan teknologi tahap tinggi yang dimiliki oleh pihak JOIN mampu memainkan peranan yang sangat signifikan kepada usaha membangunkan negeri Perak.

“Kerajaan negeri berhasrat mewujudkan perkongsian teknologi dan pembangunan modal insan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan Jepun dan kita amat berbesar hati kerana dalam pertemuan tadi pihak JOIN telah menyatakan komitmen membantu menghubungkan kerajaan negeri Perak dengan pelbagai agensi dan pihak berkaitan di Jepun,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh BH Online.

Ahmad Faizal berkata dalam pertemuan itu, beliau telah menjemput pihak JOIN untuk mengambil bahagian dalam pembangunan infrastruktur di Perak yang mampu membawa jalinan kemakmuran kepada Malaysia dan Jepun.

Pertemuan dengan pihak JOIN adalah sebahagian daripada beberapa siri pertemuan delegasi kerajaan negeri Perak untuk membina hubungan dan kerjasama strategik dengan komuniti pelabur dan pelbagai agensi kerajaan Jepun.

Sebelum ini, Ahmad Faizal mengetuai delegasi kerajaan negeri dalam pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Polisi Penjagaan Kesihatan di bawah Sekretariat Kabinet Jepun, Koji Fujimoto bagi membincangkan potensi kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan untuk golongan warga emas di Perak.

Selepas pertemuan itu, beliau mengetuai delegasi negeri untuk pertemuan dengan pentadbiran tertinggi Universiti Tsukuba bagi menawarkan negeri Perak sebagai lokasi untuk pembukaan kampus cawangan universiti itu di Malaysia.

Awal minggu ini, delegasi kerajaan negeri Perak telah berada di Fukuoka bagi majlis sambutan ulangtahun ke-30 Bandar Berkembar Ipoh-Fukuoka yang menyaksikan pihak Majlis Bandaraya Ipoh dan Bandaraya Fukuoka menandatangani Perjanjian Persefahaman untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama di antara kedua-dua bandaraya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )