Jawatankuasa Pemerkasaan TVET diharap beri impak positif

Jawatankuasa Pemerkasaan TVET diharap beri impak positif

IPOH: Isu pertindihan sistem pendidikan, pensijilan, kekangan dana pembangunan serta ketidaktentuan nasib graduan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) adalah cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, dengan penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan TVET di bawah Kementerian Pendidikan Jun tahun lepas diharap dapat memberi impak positif dalam menangani isu tersebut.

“Kita semua sedia maklum, berdasarkan struktur sedia ada, ada enam kementerian melaksanakan TVET mengikut sistem pendidikan masing-masing, iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Justeru, dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, diharapkan impak positif dapat dilihat dalam menangani isu itu, selain dapat melaksanakan penyelarasan dan rasionalisasi merangkumi governan, penjenamaan, kualiti, industri dan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia di Kampus Politeknik Ungku Omar (PUO) hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Exco Kerajaan Negeri, Dr Abdul Aziz Bari, Hasnul Zulkarnain dan Howard Lee; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Pengarah PUO, Dr Zairon Mustapha.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, peranan industri perlu dipertingkatkan bagi memastikan inisiatif dan usaha kerajaan mencapai sasarannya dalam usaha memperkasa program TVET.

Katanya, fasiliti dan perkhidmatan pendidikan TVET yang mantap tidak akan memberi makna tanpa pembabitan industri dan menjadi harapan Kerajaan, pihak industri dapat terbabit dengan lebih aktif agar teknologi terkini dikongsi bersama terutama di Politeknik Malaysia.

“Pihak industri perlu sentiasa berkomunikasi dengan institusi TVET mengenai keperluan tenaga kerja yang diperlukan agar tidak berlaku percanggahan ataupun `mismatch’ antara keperluan industri dan graduan yang dihasilkan,” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )