Hujah dibalas hujah, bukan cacian – Pemuda AMANAH

Hujah dibalas hujah, bukan cacian – Pemuda AMANAH

KUALA LUMPUR: Pemuda AMANAH Nasional mengingatkan tentang betapa pentingnya sikap berlapang dada dan rasional dalam menyampaikan pandangan serta pendapat.

Pengarah Biro Dakwahnya, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, apabila seseorang itu gagal mempamerkan akhlak di dalam berbahas dan memberi pandangan, maka hujah dan pandangannya tidak bersandarkan kepada fakta dan rasional tetapi bersentimen dengan emosi semata-mata.

Kata beliau, apabila seseorang itu menyatakan pandangan berdasarkan ilmu dan kemahirannya, seseorang itu perlu mendatangkan hujah dan fakta untuk menyanggahnya.

“Hujah dibalas hujah, budaya mencaci amat bertentangan di dalam Islam, Allah melarang keras cacian dan makian di dalam Islam.

“Saya melihat ketika dan saatnya apabila kita gagal mempamerkan akhlak di dalam berbahas, berhujah dan berbeza pandangan maka natijahnya hanya sebuah emosi dan hilangnya sebuah rasional,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyelaras DUN Selinsing menjelaskan, tugas sebagai muslim adalah sangat besar dalam memahamkan ummah tentang agama Islam sebagai jalan hidup.

Sehubungan itu, Ahmad Saqif yang merupakan cicit kepada tokoh ulama terkemuka, Almarhum Ustaz Abu Bakar al-Baqir menyeru agar tidak membuang masa dengan berbalah kerana itu merugikan sebagaimana Allah telah berpesan dalam surah al-Asr.

Kenyataan tersebut rentetan daripada isu Tabung Haji yang mana tokoh agama, Dr. Zaharuddin Abd Rahman mempertahankan tindakan dan usaha kerajaan memperbaiki kerosakan institusi tersebut.

Tindakannya itu telah mendapat respon yang negatif daripada pembangkang khususnya dari kalangan penyokong Pas dengan pelbagai kata nista, hentaman, kritikan dan hinaan diberikan kepada beliau di laman sosial.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )