Netanyahu gambarkan nilai sifat kehaiwanannya

Netanyahu gambarkan nilai sifat kehaiwanannya

KUALA LUMPUR: Serantau Muslim (SM) melahirkan rasa jijik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang menganggap masalah kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza adalah masalah pihaknya malah tindakan mereka tidak seiring langsung dengan apa yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Pengerusinya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, Netanyahu tidak memiliki nilai kemanusiaan kerana sanggup mengarahkan tentera-tenteranya membunuh rakyat Palestin tanpa mengira peringkat umur.

Hal ini kerana katanya, seseorang manusia yang memiliki nilai-nilai kemanusiaan akan menunjukkan contoh yang baik sama ada melalui percakapan dan perbuatan seharian.
Ujarnya, nilai baik yang dipegang ini mampu membentuk manusia menjadi insan yang mulia dan berakhlak.

Namun, kata beliau jika ia sebaliknya, seseorang manusia itu akan bertindak zalim, kejam dan berdendam sehingga sanggup melakukan kekejaman kepada manusia yang lain.

“Dalam masa yang sama, manusia mudah hilang nilai kemanusiaan apabila dipengaruhi wang dan harta sehingga tiada rasa takut dalam pelbagai perkara.

“Kenyataan ini seiring dengan tokoh kajian barat, Jules Renard, yang menyatakan manusia berbeza dengan haiwan iaitu dalam soal masalah kewangan sehingga menyebabkan manusia berlaku kejam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelumnya, Netanyahu menyifatkan tenteranya melakukan tindakan yang bijak kerana telah membunuh lebih 300 orang penduduk Palestin berhampiran pagar di timur Semenanjung Gaza.

Dalam isu ini, Raja Iskandar melihat Netanyahu sememangnya tiada nilai kemanusiaan malah penuh dengan rasa tamak dan tidak bijak menguruskan kuasa yang dimilikinya ke arah yang positif walaupun Netanyahu berasa kekuatan yang dimilik puak itu digunakan dengan bijak.

“Kenyataannya yang turut menyalahkan Hamas atas masalah ekonomi menampakkan lagi kebejalannya sendiri kerana segalanya disebabkan tindakan Israel yang menyekat dan menghalang segala aktiviti ekonomi disamping menutup sempadan diseluruh Gaza ke dunia luar.

“SM juga merasakan Netanyahu tidak wajar meminggirkan isu kemanusiaan yang menimpa Palestin dan hanya menjaga rakyatnya kerana akibat penjajahan mereka ke tanah anbiya’ itu sendiri telah memusnahkan keharmonian dalam kalangan penduduk Palestin.

“Kami melihat selagi mana Netanyahu berpaksi kepada kezaliman dan ketidakadilan kepada masyarakat Palestin, selagi itulah keamanan tidak akan dikecapi di Israel dan secara jangka masa depannya membina hati yang kotor dikalangan rakyatnya sendiri dimana akan melahirkan pembangunan sosial yang buruk kepada Israel itu sendiri,” tegasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )