Panjangkan landasan kapal terbang: Kerajaan Perak tubuh jawatankuasa

Panjangkan landasan kapal terbang: Kerajaan Perak tubuh jawatankuasa

IPOH: Kerajaan Perak telah mewujudkan jawatankuasa bertindak bagi proses memanjangkan landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini.

Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, pembentukan jawatankuasa yang dipengerusikan beliau itu dibuat di dalam mesyuarat Exco sebelum Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berlepas ke Jepun.

Katanya, jawatankuasa yang turut dibantu dua Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong dan Tan Kar Hing itu diwujudkan bertujuan mendapatkan pandangan pihak berkaitan mengenai cadangan kerajaan negeri memanjangkan landasan LTSAS itu.

“Pada mesyuarat Exco yang lalu, saya telah dilantik mempengerusikan jawatankuasa bertindak itu dan ia turut dianggotai wakil daripada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB), Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selain dua lagi Exco.

“Kita faham bahawa lapangan terbang adalah tertakluk di bawah MAHB tetapi apabila kita nak panjangkan landasan ini perlu ada interaksi bersama mereka kerana ini idea kerajaan negeri dan kita perlu pandangan mereka,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Harian.

Sebelum ini, Mohammad Nizar menjelaskan kerajaan Perak dalam perancangan untuk mengeluarkan tender bagi kerja-kerja memanjangkan LTSAS.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang juga Adun Sungai Rapat berkata, kerajaan Perak sedia membantu pihak industri sedia ada di negeri ini untuk memperluaskan perniagaan mereka.

Katanya, dengan kerjasama InvestPerak, kerajaan negeri akan berusaha memberikan laluan singkat kepada mereka untuk pengembangan perniagaan melalui pengurangan birokrasi.

Beliau berkata, dengan cara seperti itu, kerajaan negeri dapat mengelakkan pelabur daripada lari ke negeri atau negara lain untuk melebarkan perniagaan mereka.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )