Pemberian subsidi petrol bersasar masuk terus ke dalam akaun penerima

Pemberian subsidi petrol bersasar masuk terus ke dalam akaun penerima

KUALA LUMPUR: Pemberian subsidi petrol bersasar bagi golongan berpendapatan rendah B40 mungkin dibuat secara terus ke dalam akaun penerima.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini berikutan pada masa ini sebanyak 90 peratus penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang layak menerima subsidi petrol bersasar menerima bantuan secara terus ke dalam akaun mereka.

Beliau berkata baki 10 peratus lagi yang kebanyakannya berada di kawasan pendalaman pula akan dibantu untuk dibukakan akaun bank.

“Dengan cara itu, kalau kita laksanakan subsidi petrol bersasar, kita masukkan terus ke dalam akaun penerima, jadi pada hari pelaksanaan subsidi bersasar itu, harga di pam tetap sama.

“Saya yang layak dapat subsidi membayar RM2.08 (RON95) contohnya pada harga itu, Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pun bayar RM2.08 tetapi Bera tidak layak dapat subsidi, jadi kerajaan akan bank in ke dalam akaun saya sebagai rakyat yang layak menerima subsidi. Jadi, itu satu alternatif,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ismail Sabri mengenai kaedah pelaksanaan pemberian subsidi petrol bersasar termasuk sama ada menggunakan kupon atau kad.

Saifuddin berkata pihaknya juga melihat penggunaan kad sebagai satu pengenalan penerima yang sekali gus membolehkan kerajaan mengkaji corak perbelanjaan pengguna.

Maklumat itu akan turut digunakan sebagai asas pelaksanaan subsidi bersasar untuk barangan pengguna yang lain pada masa hadapan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata Kementerian Kewangan telah muktamadkan pemilihan satu vendor bagi membangunkan sistem pelaksanaan program subsidi berkenaan.

Subsidi petrol bersasar itu adalah antara langkah-langkah yang digariskan dalam Belanjawan 2019 bagi mengurangkan kos sara hidup untuk isi rumah B40 yang menerima pendapatan bulanan di bawah RM3,860. Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )