Penerima Kad Perak Prihatin lega dapat bantuan, ringan beban

Penerima Kad Perak Prihatin lega dapat bantuan, ringan beban

IPOH: Penerima skim bantuan Kad Perak Prihatin menarik nafas lega dan melahirkan rasa syukur serta berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri Perak yang membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan seperti mereka.

Seorang penerima, Maheran Buyong, 62, dari Manjoi berkata skim bantuan itu sangat mencukupi menampung perbelanjaan bulanan keperluan asasnya selain dia turut menerima bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sebanyak RM350 sebulan.

“Alhamdulillah, mak cik bersyukur sangat terpilih sebagai penerima bantuan ini, lebih daripada cukup dan berbaloi sangat rasanya,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran kad berkenaan yang dilancarkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini hari ini.

Maheran yang bekerja sebagai tukang jahit, kehilangan suaminya sejak 20 tahun lalu itu, mempunyai tiga orang anak dan dua daripadanya masih menuntut di institusi pengajian tinggi.

Bagi K. Manorama, 60, dari Buntong di sini pula berkata bantuan itu dapat meringankan bebanannya yang tidak mampu lagi untuk bekerja selepas melakukan pembedahan urat di kaki.

“Saya perlu membayar sewa rumah sebanyak RM126 sebulan, selain perlu membayar bil elektrik dan air serta bayaran tambang teksi ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada menteri besar dan kerajaan negeri yang mengambil berat terhadap nasib rakyat seperti saya,” katanya yang turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Penerima Orang Asli, Achau Tunkut, 66, dari Perkampungan Orang Asli Batu Berangkai, Kampar yang tidak mempunyai pendapatan tetap secara bulanan, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri yang menyediakan bantuan sedemikian khusus untuk rakyat yang memerlukan.

“Saya mempunyai sakit dalam perut dan tidak boleh bekerja terlampau berat. Dengan adanya bantuan ini sedikit sebanyak dapat juga saya membeli barangan keperluan,” katanya yang bekerja kampung.

Ahmad Faizal dalam ucapan pada pelancaran itu berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM22 juta melibatkan kira-kira 17,000 penerima bantuan berkenaan pada tahun ini.

Program itu merupakan satu skim bantuan kewangan, bagi menampung perbelanjaan barangan keperluan dan kos perkhidmatan kesihatan di klinik atau pusat perubatan swasta yang mana transaksi pembelian, dan perkhidmatan kesihatan adalah secara tanpa tunai yang boleh digunakan di kedai atau pasar raya dan klinik yang dilantik sebagai panel.

Penerima bantuan akan menikmati dua manfaat iaitu jumlah perbelanjaan barangan keperluan asas sebanyak RM80 sebulan dan RM300 bagi perbelanjaan kesihatan sepanjang tahun.

-Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar
    Ogee Ahmad 2 years

    Bagaimana cara hendak memohon kad perak prihatin bagi yg tidak mendapat apa2 bantuan blnan dari jkm atau baitulmal.

  • comment-avatar
    rajan paramesparan 10 months

    saye ingin meminta bantuan kapade pemberi kad perak dan saye tidak tahu dimana pejabat ini dan segala hormatnye kepada pihak memberi pertolongan kepada saye amat saye di hargai saye ingin meminta bantuan kepada pihak yang hati yang terbuka hulurkan lah bantuan untuk saye… terima kasih dan salam sejahtera.. 0149070165 rajan paramesparan..

  • Disqus ( )