Perak bukan antara negeri yang setuju naik tarif air

Perak bukan antara negeri yang setuju naik tarif air

IPOH: Perak bukan antara enam negeri yang bersetuju untuk menaikkan kadar tarif air, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata pihaknya bersama Lembaga Air Perak (LAP) belum membuat sebarang keputusan dan isu menaikkan kadar tarif masih dalam kajian.

“Apakah kita akan naikkan tarif untuk pengguna domestik sahaja, atau bukan pengguna domestik atau semua pengguna air di Perak, kita (kerajaan negeri) belum putuskan,” katanya.

Ahmad Faizal bercakap kepada pemberita selepas mengiringi seorang pegawai Pejabat Menteri Besar membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dalam satu projek taman tema di negeri ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar yang menyatakan enam negeri telah bersetuju menaikkan kadar tarif air hasil rundingan kementerian bersama kerajaan negeri dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang masih lagi berjalan ketika ini.

Menteri besar itu turut memaklumkan, bahawa pihaknya tidak diberikan sebarang tarikh akhir oleh Putrajaya untuk memuktamadkan sama ada akan menaikkan tarif air atau sebaliknya.

Ahmad Faizal bagaimanapun berkata, jika ada keperluan untuk menaikkan tarif air di Perak, pihaknya akan mencari kaedah terbaik agar ia tidak membebankan rakyat dan pada masa sama memastikan kelestarian syarikat untuk menjalankan operasi bagi tempoh jangka masa panjang.

Berdasarkan semakan di laman sesawang LAP, kadar tarif maksimum bagi penggunaan melebihi 20 meter padu untuk pengguna domestik/kerajaan adalah RM1.03 satu meter padu.

Bagi kategori perniagaan/industri, kadar tarif maksimum adalah RM1.61 untuk penggunaan melebihi 20 meter padu, manakala bagi rumah ibadat/kebajikan kadar maksimum 34 sen dikenakan untuk penggunaan melebihi 20 meter padu.

Sementara itu, kategori khas pukal kadar maksimum adalah 69 sen bagi penggunaan melebih 20 meter padu.

-Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )