Pulau Sembilan masih ditutup sehingga kajian selesai – Exco Perak

Pulau Sembilan masih ditutup sehingga kajian selesai – Exco Perak

IPOH: Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk di sini masih ditutup dan kajian lebih terperinci sedang dijalankan oleh pasukan penyelidik dan pertubuhan bukan kerajaan sebelum ia dibuka kepada orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata kajian perlu dijalankan sebelum melaksanakan beberapa perancangan untuk memastikan Pulau Sembilan dapat dipelihara dengan baik.

“Beberapa pasukan penyelidik bersama badan bukan kerajaan sedang melakukan kajian dengan mengambil kira empat aspek iaitu ‘boatie’, kuda laut, batu karang, dan segala-galanya di atas pulau itu. Kita jangka kajian ini dapat diselesaikan dalam beberapa bulan lagi.

“Sebelum perancangan itu dilaksanakan, kita akan menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah terlebih dahulu untuk mohon perkenan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Sungai Kinta di sini hari ini.

Sebuah portal berbahasa Inggeris melaporkan pada Jun tahun lepas Pulau Sembilan dijangka dibuka kepada orang ramai akhir tahun lepas.

Portal itu juga melaporkan pulau itu ditutup kepada orang awam bagi menjalankan kerja pemulihan sejak April 2017 disebabkan oleh struktur buatan manusia yang mengancam untuk menghapuskan pelbagai hidupan liar termasuk plankton yang memancarkan cahaya biru di sepanjang pantai.

Tan berkata pihaknya juga tidak membenarkan orang ramai melakukan tinjauan ke pulau tersebut.

“Kita ada enam orang renjer dan mereka telah memberi nasihat kepada orang ramai supaya tidak mendekati kawasan larangan,” katanya.

Bercakap mengenai Festival Makanan Ipoh (IFF), Tan berkata festival yang diadakan pada 27 dan 28 April di Kinta River Walk di sini bakal menyediakan pelbagai jenis makanan Melayu, Cina dan India selain mengadakan beberapa aktiviti antaranya berkayak serta menaiki bot.

“IFF boleh dikatakan sangat berbeza jika dibandingkan dengan food festival yang lain kerana ditambah unsur kebudayaan dan pengalaman yang unit di dalamnya. Dengan elemen kebudayaan, IFF akan menjadi satu festival yang luar biasa dan saya percaya ia akan diteruskan pada tahun akan datang,” katanya.

-BERNAMA

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )