MB Perak wajar dijadikan ikon berhenti merokok – Hasnul

MB Perak wajar dijadikan ikon berhenti merokok – Hasnul

IPOH: Kerajaan Negeri Perak sangat komited dalam memberi kesedaran kepada masyarakat ke arah mengamalkan gaya hidup sihat dan bersih melalui kempen bebas asap rokok.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, rokok adalah merupakan antara faktor yang menyumbang kepada pelbagai penyakit merbahaya seperti jantung, angin ahmar, barah dan sebagainya.

Di atas kesedaran itu, menurutnya pelbagai kempen dan usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak selari dengan Kerajaan Persekutuan yang sangat komited dalam menjayakan kempen anti rokok ini.

Kata beliau, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sangat bersungguh-sungguh menjayakan kempen berhenti merokok dan beliau telah memulakan daripada dirinya sendiri.

“Datuk Seri Ahmad Faizal sebelum ini adalah perokok tegar, setiap hari saya difahamkan hampir dua kotak rokok (beliau hisap).

“Tetapi setelah beliau bertemu seorang doktor, beliau telah terbuka hati untuk berhenti merokok.

“Seminggu selepas beliau berhenti merokok, pegawai kanan dan pemandu beliau turut mengikut jejak langkahnya untuk berhenti merokok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pelancaran Perak Bebas Asap Rokok (PERBAR) anjuran oleh Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) di Mydin Meru Raya, Ipoh hari ini.

Beliau menjelaskan, Ahmad Faizal telah memperkenalkan kempen kesedaran merokok dengan memaparkan kempen mesej tertulis ‘Quit Smoking’ di jersi pasukan Bola Sepak Perak.

Mesej itu katanya adalah cetusan idea daripada Ahmad Faizal dalam memberi kesedaran dan motivasi kepada seluruh masyarakat untuk berhenti dan bebas daripada asap rokok.

“Ahmad Faizal wajar menjadi ikon kepada masyarakat untuk berhenti merokok, beliau telah membuktikan ia tidak mustahil berbekalkan azam dan iltizam yang tinggi,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Adun Titi Serong menjelaskan, kerajaan negeri menggalakkan mana-mana pihak khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama menyokong kempen berhenti merokok ini.

Jelasnya, ia sebagai lanjutan kempen-kempen yang dianjurkan jabatan dan agensi kerajaan dalam memastikan persekitaran bebas asap rokok.

“Usaha yang dilakukan Ikram melalui Ikram Health dengan memperkenalkan kempen Perak Bebas Asap Rokok (Perbar) sangat dialu-alukan.

“Kerajaan Perak memang menggalakkan kempen-kempen seperti ini bukan sahaja memberi fokus kepada anak muda tetapi golongan dewasa.

“Sambutan terhadap kempen ini, alhamdulillah sangat baik dengan pelbagai aktiviti diadakan dan diharapkan ia akan terus diadakan,” katanya lagi.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )