Perak bakal bawa pemain import baharu

Perak bakal bawa pemain import baharu

IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) membayangkan kemungkinan membawa masuk pemain import baharu menjelang jendela perpindahan kedua bermula 2 Mei nanti.

Mengakui turut kecewa dengan keputusan diperolehi setakat ini, Presiden PAFA Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengharapkan supaya jurulatih, Mehmet Durakovic memberi perhatian terhadap ketumpulan jentera serangan.

“Itu memang dalam perancangan (membawa pemain import baharu). Saya sendiri berasa kurang selesa dengan prestasi pemain tertentu dengan beberapa posisi perlu dimantapkan lagi terutamanya di bahagian serangan.

“Namun kita perlu bertindak secara bertanggungjawab dengan tidak membeli pemain yang terlalu mahal.

“Kalau boleh kita hendak bentuk beberapa pemain tempatan dan langkah itu walaupun mungkin mengambil sedikit masa, tetapi akan membawa kejayaan lebih manis,” katanya di dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak berkata, sebelum ini Perak turut pernah mengalami masalah sama sehingga digelar sebagai pakar seri sekitar tahun 2000.

Beliau yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan PAFA pada awal musim lalu agak kecewa kerana penyakit itu kembali berulang.

“Saya fikir kita bukannya tidak menampilkan permainan baik cumanya kita gagal menjaringkan gol.

“Sebagai peminat serta Presiden PAFA, tentunya saya juga kecewa dan sedih kerana kita sepatutnya mengekalkan momentum kejayaan sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, pihak pengurusan PAFA sememangnya menjaga kebajikan pemain dan pegawai pasukan namun persembahan di atas padang pastinya ditentukan oleh pemain itu sendiri serta latihan dijalani.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )