RTM kekal relevan jadi lidah kerajaan – MB perak

RTM kekal relevan jadi lidah kerajaan – MB perak

IPOH: Selepas bertapak selama 73 tahun sebagai stesen penyiaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini kekal relevan menjadi lidah rasmi kepada kerajaan di dalam era Malaysia Baharu ini.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata RTM telah menjalankan tugas dengan melaporkan berita yang tepat dan sahih kepada rakyat sehingga kini.

“Kita akan sentiasa memberi sokongan kepada RTM di mana kita memberi kebebasan kepada RTM untuk membuat laporan. Malah rakyat tentunya dahagakan laporan yang tepat dan sahih.

“Saya percaya di peringkat negeri Perak mahupun kerajaan persekutuan tidak akan mengganggu gugat laporan-laporan yang dibuat oleh pihak RTM,” katanya merasmikan program Fiesta Sehati @RTM #UntukKomeLer di perkarangan Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim, dan Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) Nor Hayati Awang.

Pelbagai aktiviti pada program fiesta yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam antaranya pertandingan karaoke, mewarna dan ceramah agama selain persembahan artis seperti Datuk Jamal Abdillah, Adira Suhaimi, Adi 6ixth Sense serta ramai lagi.

Dalam pada itu, ketika berucap, Ahmad Faizal berkata negara yang maju tidak akan merasai kemajuannya jika sebuah stesen penyiaran milik kerajaan gagal berfungsi seperti sewajibnya.

“RTM mesti sedar akan kebergantungan ini. 73 tahun bukanlah suatu tempoh yang singkat. Bayangkan, usia kemerdekaan negara ini baru mencapai angka 62 tahun.

“Ini bermakna, RTM pada perkiraan akal manusia pasti lebih matang dan keupayaannya tidak perlu diragui dalam usahanya untuk membentuk minda dan cara fikir masyarakat Malaysia,” katanya.

Katanya, salah satu peranan RTM adalah menjadi medium penyampaian yang berkesan dalam membantu usaha pembangunan negara dan perpaduan rakyat.

“RTM juga bertanggungjawab, menimbulkan perubahan sikap pendengar dan penonton serta menimbulkan daya berfikir yang positif,” katanya.

Ahmad Faizal berkata sebagai satu organisasi penyiaran yang profesional dan matang, RTM sentiasa mempamerkan keputusan yang berasaskan pengalaman yang telah ditimba, selain patuh kepada undang-undang, peraturan dan prosedur yang sedia ada.

BernamaR

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )