Banyakkan program dekati masyarakat, bukan di dalam masjid semata-mata

Banyakkan program dekati masyarakat, bukan di dalam masjid semata-mata

IPOH: Semua jawatankuasa masjid di negeri Perak digalakkan mengadakan program-program dakwah di luar kawasan masjid untuk mendekati masyarakat pelbagai lapisan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Usahawan Negeri, Asmuni Awi berkata, program pengajian dan dakwah tidak seharusnya hanya tertumpu di dalam kawasan masjid semata-mata kerana masih ramai diluar sana yang tidak ke masjid.

“Saya mencadangkan pengurusan masjid bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program-program.

“Mungkin sesetengah jawatankuasa masjid tidak mempunyai pengalaman mengadakan program jadi perlu kerjasama dengan pihak lain.

“Oleh itu, perlu ada program di luar masjid untuk membuka pintu hati masyarakat dan mengubah persepsi terhadap masjid.

” Kerjasama masjid dan NGO ini akan mengukuhkan serta memperluaskan usaha dakwah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Cinta Ilmu 2019 anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perak di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Hadir sama, Yang Dipertua ABIM Perak, Mohammad Hafez Ardhi; Timbalan Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Perak, Mustaffa Bakar dan pengarah karnival, Mohamad Saifuddin Abdul Latiff.

Dalam perkembangan berkaitan, Adun Manjoi itu berkata, kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana masjid untuk mengadakan program di luar masjid dengan menggunakan peruntukan sendiri.

“Kebanyakan masjid di Perak mempunyai dana yang besar dan tiada masalah untuk mereka gunakan bagi tujuan dakwah.

“Kerajaan negeri setakat ini tidak mahu aktiviti luar masjid itu dijadikan dalam bentuk peraturan dengan mewajibkan masjid melaksanakannya.

“Kami yakin, dengan kerjasama bersama NGO pelbagai program yang boleh dilaksanakan dan akan memberi manfaat serta menarik minat masyarakat kepada masjid khususnya golongan muda,” katanya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )