Juara Piala Malaysia selepas 18 tahun, Sultan Nazrin ucap tahniah kepada pasukan Perak

Juara Piala Malaysia selepas 18 tahun, Sultan Nazrin ucap tahniah kepada pasukan Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan bola sepak Perak yang telah berjaya menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.

Titah baginda, kejayaan itu telah menamatkan penantian 18 tahun penyokong setia bola sepak Perak yang mana kali terakhir pasukan Kejor Yeop Kejor merangkul piala tersebut adalah pada tahun 2000.

“Penantian 18 tahun penyokong setia pasukan bola sepak, diakhiri, dengan kejayaan menjuarai Piala Malaysia pada tahun lalu.

“Beta menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat mengharumkan nama negeri,” titah Tuanku ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Pada 27 Oktober 2018, pasukan bola sepak Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 di Stadium Shah Alam, Selangor.

Tuanku turut mengucapkan tahniah kepada pasukan hoki kerana berhasil mempertahankan Piala Razak dua tahun berturut-turut.

Dalam tahun 2018, Baginda berkata, Perak bukan sahaja berjaya memenuhi tanggungjawab menganjurkan Sukma dan Para Sukma, tetapi para atlet berjaya meletakkan negeri berada di tangga kelima dalam kejohanan Sukma ke-19.

Dalam perkembangan berkaitan, Sultan Nazrin bertitah, pelbagai prasarana sukan melibatkan kos RM170 juta telah dibangunkan untuk penganjuran Sukma di Perak tahun lalu.

Titahnya, Kerajaan Negeri Perak akan memastikan prasarana yang telah dibangunkan digunakan secara optimum dan mampu menjadi sumber kewangan negeri.

“Atas hasrat mahu memastikan prasarana yang telah dibangunkan, akan digunakan secara optimum, serta berupaya menjana sumber kewangan bagi memenuhi keperluan belanja selenggaraan pasca SUKMA, Kerajaan Beta akan menyerahkan tanggungjawab pengurusan, penyelenggaraan dan pemasaran prasarana-prasarana tersebut kepada sebuah agensi, sama ada berbentuk perbadanan atau syarikat milik kerajaan,” titah Timbalan Yang Di-Pertuan Agung itu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )