Sultan Nazrin titah jangan suntik racun kebencian atas nama kaum dan agama

Sultan Nazrin titah jangan suntik racun kebencian atas nama kaum dan agama

IPOH: Perbuatan menyuntik minda dengan racun kebencian dan menyemai jiwa dengan semangat permusuhan amat membahayakan, apatah lagi apabila ia dilakukan atas nama kaum dan agama.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kesan daripada sikap kebencian, peristiwa hitam dan berdarah di Christchurch, New Zealand baru-baru ini jelas membuktikan elemen kejutan yang boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Peristiwa itu turut membuktikan, terbina watak zalim yang melampau, akibat kerosakan minda dan kerosakan jiwa, minda dan jiwa yang berprasangka buruk, yang dipengaruhi prejudis membara, akibat salah faham dan salah persepsi melalui indoktrinasi yang menyuntik racun kebencian dan menyemai semangat permusuhan.

“Peristiwa itu hendaklah dijadikan pengajaran penting kepada rakyat di negara ini,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Kedua Dewan Negeri (DUN) Ke-14 Perak, di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, sejak 62 tahun lalu, Malaysia sudah dimasyhurkan sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat dengan barisan pemimpin yang menggasaskan pembentukan sebuah negara merdeka.

“Mereka menerima hakikat, bahawa kestabilan, keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan negara bergantung pada kejayaan menyemai semangat kerjasama antara kaum, dan memupuk semangat saling menghormati antara agama,” titah baginda di hadapan Ahli Dewan serta seluruh ketua-ketua jabatan.

Timbalan Yang Dipertuan Agong itu bertitah, melalui persefahaman yang terjalin dan sikap saling menghormati yang diamalkan dalam kalangan rakyat, Malaysia muncul di pentas dunia sebagai sebuah negara yang stabil, aman, makmur dan sejahtera yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta mengamalkan pelbagai budaya tetapi hidup secara rukun penuh harmoni.

“Perbuatan oleh mana-mana juga pihak yang mensensasikan isu kaum dan isu agama, dikhuatiri akan menyalakan api persengketaan yang bakal membakar hangus sebuah keamanan, sebuah perpaduan dan sebuah kerukunan, yang telah dibina oleh generasi terdahulu.

“Demi kestabilan negara, keharmonian hubungan antara kaum dan demi kerukunan hidup antara agama, kata-kata dan perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan antara kaum dan antara agama hendaklah dielakkan,” titah baginda.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )