Kerajaan Perak komited perkenal inisiatif baharu kurangkan kos hidup rakyat

Kerajaan Perak komited perkenal inisiatif baharu kurangkan kos hidup rakyat

IPOH: Kerajaan Negeri Perak komited untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun berdepan dengan kekangan kewangan, kerajaan negeri tetap memberi keutamaan kepada usaha-usaha membantu golongan yang memerlukan pembelaan.

Justeru, kata beliau penekanan diberikan kepada memastikan segala usaha ini memberi impak yang langsung kepada golongan sasar, tanpa mengira batasan kaum dan agama.

“Tetapi, pada masa yang sama, kerajaan negeri juga komited untuk mendaya-upayakan golongan B40 supaya mereka dapat berdikari dan menikmati kehidupan yang lebih baik dalam jangkamasa panjang,” katanya ketika menjawab soalan lisan Adun Alor Pongsu, Dato’ Sham Mat Sahat di Dewan Negeri Perak, disini hari ini.

Beliau memberi beberapa contoh inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan antaranya Kad Perak Prihatin yang mana kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM22 juta untuk program Kad Perak Prihatin yang dilancarkan baru-baru ini yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penerima.

Kata beliau, setiap pemegang Kad Prihatin akan menerima bantuan sebanyak RM80 setiap bulan untuk memberi keperluan asas dan bantuan mendapat rawatan di 400 klinik-klinik swasta yang berdaftar sehingga RM300 setahun.

Adun Chenderiang itu berkata, kerajaan negeri juga telah memperluas Projek Ladang Rakyat dan pengenalan Skim Ladang Harapan.

“Sebagai salah satu usaha mendaya-upayakan rakyat, kerajaan negeri mengenalpasti ladang sosial sebagai salah satu pilihan untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan.
“Ini adalah pendekatan jangka masa panjang untuk membela nasib rakyat, selain daripada bantuan sara hidup,” jelasnya.

Selain itu, kata Ahmad Faizal kerajaan negeri telah melaksanakan bantuan rebat bil elektrik dan air percuma kepada golongan sasar.

Katanya, program Rebat Bil Elektrik RM40 adalah program Kerajaan secara bersasar untuk membiayai bil elektrik bulanan sehingga RM40 kepada keluarga miskin tegar dan miskin yang berdaftar dan disahkan dalam sistem eKasih.

“Program ini merupakan program baharu yang telah diperkenalkan bagi menggantikan Program Rebat Bil Elektrik RM20 yang telah dilaksanakan pada tahun 2008.

“Dengan pengenalan program ini, pengguna tidak lagi menerima Rebat Bil Elektrik RM20 sebaliknya akan menerima rebat bil elektrik yang lebih tinggi sekiranya tersenarai sebagai golongan sasar yang layak menerima.

“Kerajaan Negeri melalui Lembaga Air Perak (LAP) telah meluluskan pemberian Air Percuma 25 meter padu seperti pada 18 Mac 2019 dengan anggaran penerima manfaat seramai 50,700 orang bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat yang berkeperluan,” jelasnya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )