Semua wakil rakyat perlu bantu beri penerangan tentang insentif kerajaan

Semua wakil rakyat perlu bantu beri penerangan tentang insentif kerajaan

IPOH: Kerajaan Negeri Perak mengalu-alukan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang insentif dan inisiatif yang telah dilaksanakan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, rakyat perlu mendapat maklumat yang benar dan terperinci terhadap semua perkara agar mereka mengetahui peluang dan faedah yang mereka perolehi.

Kata beliau, penerangan dan pencernaan tentang insentif kerajaan ini bukan sahaja tugas kerajaan, malah pembangkang itu sendiri perlu memainkan peranan untuk memberi maklumat yang benar kepada rakyat.

“Kerajaan negeri akan mengadakan program bersua muka dengan masyarakat untuk menyampaikan maklumat tentang insentif dan inisiatif kerajaan negeri yang telah dilaksanakan.

“Kami mengalu-alukan kerjasama semua pihak mewacanakan insentif kerajaan negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan oleh Adun Kamunting, Dr Ir Muhd Fadhil Nuruddin.

Sebelum itu, Hasnul Zulkarnain telah menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun Aulong, Nga Kor Ming tentang usaha kerajaan dalam menjelaskan serta mewar-warkan kepada rakyat tentang inisiatif-inisiatif yang berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, kerajaan negeri sememangnya telah membuat hebahan bagi mewar-warkan usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Kerajaan melalui pelbagai medium sama ada media cetak mahupun elektronik seperti Buletin Rasmi dan Laporan Tahunan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak, portal rasmi kerajaan negeri Perak, Facebook rasmi Pejabat SUK Perak serta Facebook rasmi Jabatan Penerangan Negeri Perak dan juga melalui 250 buah paparan TV DigitalPerak di pejabat-pejabat Kerajaan di seluruh Negeri Perak.

“Selain itu terdapat juga hebahan radio melalui Perak FM untuk slot Menteri Besar pada setiap hari Khamis pukul 8.30 pagi dan juga slot bersama Jabatan/Agensi Kerajaan pada setiap hari Selasa pukul 12.15 tengah hari.

“Hebahan Kerajaan Negeri Perak melalui Pejabat SUK Perak juga turut bekerjasama rapat dengan pihak media dalam setiap program anjuran kerajaan negeri bagi mendapatkan liputan yang tepat dan menyeluruh.

Di samping itu, Adun Titi Serong itu berkata, Kerajaan Negeri Perak turut mempromosikan pelbagai inisiatif baru melalui Program Memacu Harapan dan Program Pegawai Daerah Bersama Komuniti bagi memastikan rakyat di peringkat akar umbi dapat memahami dan menikmati inisiatif yang disediakan oleh kerajaan negeri.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )