Kerajaan Perak sedia bantuan kepada penoreh getah dan nelayan

Kerajaan Perak sedia bantuan kepada penoreh getah dan nelayan

IPOH: Kerajaan negeri menyediakan beberapa program dan bantuan bagi membantu menangani kesukaran penoreh getah dan nelayan ekoran penurunan harga komoditi ketika ini.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata kerajaan negeri telah menyediakan insentif produktiviti getah sebanyak RM317 sehektar bagi membantu pekebun kecil menyediakan peralatan penorehan.

“Selain itu, juga disediakan bantuan peningkatan produktiviti getah iaitu RM500 sehektar yang merangkumi bantuan baja,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Zainun Mat Noor (BN-Chenderoh) pada persidangan Dewan Negeri ke-14 di sini semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memberi bantuan RM600 kepada pekebun kecil yang terjejas pendapatannya akibat tidak dapat menoreh pada musim tengkujuh dan bayaran dibuat sebanyak dua kali.

“Bantuan aktiviti tambahan iaitu sebanyak RM10,000 bagi pekebun kecil yang berminat menceburi bidang usahawan dalam empat bidang utama iaitu perkhidmatan makanan, pembuatan dan pertanian,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri menggalakkan nelayan menceburi bidang akuakultur sebagai alternatif lain bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka di bawah program Touch Point Akuakultur.

Katanya, antara aktiviti ternakan ikan dan udang adalah seperti ternakan dalam sangkar, ternakan dalam kolam serta dalam tangki manakala bantuan yang diberikan berbentuk peralatan ternakan, makanan ternakan serta pembekalan benih ternakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari berkata sebanyak 444 permohonan baharu untuk Murid Bukan Warganegara (MBWN) masuk ke sekolah kerajaan bagi sesi persekolahan 2019 sehingga 20 Mac direkodkan.

“Kelulusan bagi setiap permohonan perlu mematuhi syarat Akta 550 dan ada dokumen sokongan yang lengkap. Akta Pendidikan 1996 masih diguna pakai dan tidak ada sebarang penggubalan, justeru pemohon perlu mematuhi syarat sedia ada yang telah ditetapkan, ” katanya ketika menjawab soalan lisan Ng Shy Chinga (PKR-Teja).

— Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )