Lebih 600 PATI di Perak dihantar pulang ke negara asal

Lebih 600 PATI di Perak dihantar pulang ke negara asal

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia negeri Perak telah menghantar pulang 627 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pada 2018, sejumlah 3,550 pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara asal dan kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Langkap, Teluk Intan sementara menunggu giliran untuk dihantar pulang.

“Sejumlah 490 pendatang tanpa izin daripada pelbagai warganegara atas pelbagai kesalahan ditahan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini dan seramai 16 majikan turut ditahan menerusi 118 operasi bersepadu sepanjang tempoh tersebut.

“Tahun lalu, 593 operasi penguatkuasaan dan 72 operasi bersepadu dilaksanakan dengan 2,414 pendatang tanpa izin ditahan,” katanya semasa menjawab soalan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang) pada persidangan Dewan Negeri ke-14 di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal, Depot Imigresen Langkap sedang dinaik taraf dan mampu menampung seramai 2,500 pendatang tanpa izin pada satu-satu masa.

Ahmad Faizal berkata Jabatan Imigresen negeri Perak juga memastikan semua pintu masuk di negeri ini dikawal dengan cekap dan baik iaitu memastikan hanya warga asing yang benar-benar layak sahaja memasuki ke negara ini.

“Di samping itu, mereka (warga asing) perlu mendaftarkan setiap perjalanan masuk dan keluar ke negara ini ke dalam sistem daftar pelawat Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata kerajaan persekutuan terpaksa membenarkan majikan mengambil pekerja asing untuk sektor-sektor kritikal seperti perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan kuari bagi memastikan operasi sektor berkenaan tidak terjejas.

“Ini adalah fenomena biasa di negara-negara membangun dan negara maju walaupun pendapatan pekerja dalam bidang kritikal ini tidak serendah seperti yang dianggap oleh kebanyakan rakyat tempatan.

“Selepas mengambil alih pentadbiran, kerajaan persekutuan yang baharu telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengawal kemasukan pekerja asing dan pada masa yang sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )