Fasiliti sukan terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik

Fasiliti sukan terbuka kepada semua tanpa mengira fahaman politik

IPOH: Kerajaan Negeri Perak menegaskan akan mengamalkan bersikap terbuka terhadap penggunaan setiap fasaliti sukan yang ada di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee Chuan How berkata, kerajaan memberi jaminan akan berlaku adil terhadap pengurusan fasiliti demi keharmonian dan kemakmuran negeri tanpa mengira fahaman politik.

“Kerajaan sekarang tiada masalah dari segi penggunaan, kita masih terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyewa gelanggang futsal tanpa kira politik.

“Kita ambil pelajaran daripada kegagalan kerajaan terdahulu untuk tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan oleh Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering) pada Persidangan Dewan Negeri Perak, hari ini.

Adun Changkat Jering itu memohon penjelasan berhubung pengurusan gelanggang futsal Bukit Gantang yang sebelum ini di bawah pengurusan Kelab Futsal Bukit Gantang, namun kini telah diambil alih oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Kata beliau, mengikut rekod Majlis Sukan Negeri Perak, persatuan berkenaan telah pun dibatalkan pendaftaran pada 2017.

“Kami juga mendapati tidak mempunyai rekod sama ada terdapat perjanjian antara pejabat tanah atau mana-mana agensi kerajaan yang mempunyai perjanjian dengan Kelab Futsal Bukit Gantang untuk mengurus gelanggang tersebut.

“Oleh yang demikian, gelanggang tersebut akan diambil alih oleh kerajaan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK),” jelasnya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )