Isu MAPS buat pembangkang ‘panas’ di dalam Dun Perak

Isu MAPS buat pembangkang ‘panas’ di dalam Dun Perak

IPOH: Tindakan Adun Keranji, Chong Zhemin mendedahkan isu kepincangan taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) menyebabkan pembangkang ‘panas’ di dalam Dewan Negeri Perak.

Ramai Adun pembangkang telah bangun ‘mengganggu’ ucapan perbahasan Zhemin biarpun tidak mendapat kebenaran daripada Timbalan Speaker, Aminuddin Zulkapli.

Antara ialah Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN-Changkat Jering), Jamilah Zakaria (BN-Trong), Maslin Sham Razman (BN-Bukit Chandan) dan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing).

Tindakan tersebut menyebabkan dewan menjadi kecoh dan perbahasan Zhemin terganggu hingga menghabiskan masa yang telah diperuntukkan.

Sebelum itu, Zhemin yang juga Pengerusi Lembaga Audit Perak Corporation Bhd (PCB) yang merupakan pemegang saham terbesar MAPS telah mempersoalkan tindakan dan usaha oleh pembangkang yang cuba menyekat beliau untuk membangkitkan isu berkaitan kepincangan MAPS.

Adun Keranji, Chong Zhemin ketika membangkitkan isu MAPS di dalam Dun Perak.

Katanya, tidak sewajarnya pembangkang berusaha untuk menyekat beliau membangkitkan isu tersebut sedangkan ia melibatkan kepentingan dan dana awam.

“Mungkin ramai pembangkang masih tidak faham betapa seriusnya impak peningkatan kos pembinaan MAPS.

“Saya bagi perbandingan, skandal RM42 Billion 1MDB hanya 13.35% daripada bajet kerajaan persekutuan yang bernilai RM314.5 Billion.

“Manakala kos pembinaan MAPS melonjak daripada kos asal RM390juta, melonjak sebanyak RM217 Juta sehingga RM607 juta yang mewakili 57.21% belanjawan negeri Perak yang bernilai RM1.061 Billion.

“Secara relatifnya impak projek MAPS terhadap kesan kewangan kerajaan negeri Perak adalah lebih besar berbanding impak skandal 1MDB terhadap kerajaan persekutuan,” katanya ketika membahaskan Titah Ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Negeri Perak, disini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Zhemin dalam satu sidang media melahirkan rasa kesal kerana perbahasannya dikacau oleh pihak pembangkang.

Menurutnya, tindakan tersebut jelas membuktikan pembangkang tidak minat langsung untuk mendengar fakta dalam isu tersebut walaupun impak dan kesannya sangat besar kepada Kerajaan Negeri Perak.

“Mereka seolah nak hentikan hujah saya supaya tidak masuk hansart,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )