Program Kampung Angkat platform GLC berkhidmat kepada masyarakat

Program Kampung Angkat platform GLC berkhidmat kepada masyarakat

IPOH: Program Kampung Angkat yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Perak bukanlah satu gula-gula untuk komuniti Orang Asli di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ini adalah salah satu usaha yang dibuat oleh kerajaan dalam memberi galakan kepada badan berkanun negeri (GLC) dan swasta laksanakan CSR (program tanggungjawab sosial) mereka.

Menurutnya, meskipun diakui perkembangan program itu agak perlahan, namun pelaksanaannya dilakukan secara berterusan melibatkan GLC dan sektor swasta.

“Kita sedar banyak lagi kampung yang perlukan pembelaan, tetapi bukan mudah nak jadikan lebih 200 kampung Orang Asli di negeri ini sebagai anak angkat.

“Usaha ini akan berterusan, bukan sekadar one-off semata-mata dan usaha ini bukanlah untuk menggula-gulakan komuniti Orang Asli,” katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Salbiah Mohamed (Temengor-BN) pada Persidangan Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

Menurutnya, antara kampung yang sudah terlibat dalam program itu ialah Kampung Sungai Perah, Parit; Kampung Batu 14, Chenderiang oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP); Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan dan Kampung Orang Asli Lata Kinjang di bawah Lembaga Air Perak (LAP).

“Selain itu, Kampung Sungai Cincin, Chenderiang menjadi kampung angkat kepada Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Kampung Sungai Lerek, Chenderiang dan Kampung Orang Asli Pos Musoh Landing Zon Chenderiang oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

“Kampung Orang Asli Gamus, Sungkai dan Kampung Orang Asli Tidong, Muallim di bawah Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI),” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata beberapa projek akan dilaksanakan pada tahun ini di Orang Asli di Dun Temengor antaranya projek bekalan air terawat di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Gerik dengan anggaran kos pelaksanaan RM500,000.

Selain itu, beberapa projek akan mula dilaksakan termasuklah projek jalan premix di Kampung Orang Asli Chenawin dan Kampung Orang Asli Sungai Rengat masing-masing melibatkan kos RM100,000 yang akan memberikan kemudahan asas lebih baik kepada penduduk

Beliau mengharapkan lebih banyak lagi syarikat-syarikat tampil untuk menjayakan program ini dengan memilih kawasan-kawasan lain di masa hadapan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )