Ahmad Faizal semakin mantap memimpin Kerajaan Negeri Perak – Asmuni

Ahmad Faizal semakin mantap memimpin Kerajaan Negeri Perak – Asmuni

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kini semakin selesa dan mantap mentadbir kerajaan negeri.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, biarpun di peringkat awal Ahmad Faizal kurang pengalaman namun beliau banyak belajar dari semasa ke semasa.

Kata beliau, Ahmad Faizal kini mula mantap dan sudah mula menguasai kerajaan serta boleh menerima teguran mahupun pandangan daripada semua pihak.

“Saya nampak MB makin lama makin mantap menguasai kerajaan. Walaupun “tergagap” sana-sini, biasalah masih baru,” katanya sebagaimana dilaporkan Malaysiakini.

Ditanya tentang rakaman audio yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kerajaan negeri itu berhubung cubaan menyingkirkan Ahmad Faizal, beliau berkata belum mendengar rakaman audio tersebut.

Asmuni yang namanya turut dikaitkan dalam rakaman audio itu turut menafikan tuduhan itu.

Gandingan Ahmad Faizal dan Asmuni Awi selaku Exco Kanan sangat diyakini dalam memimpin Kerajaan Negeri Perak.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan itu berkata, beliau tidak tahu jika wujud gerakan baru untuk menggulingkan Ahmad Faizal.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat yang tular sejak 17 April lalu itu mengandungi perbualan yang menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap cara Ahmad Faizal mentadbir kerajaan negeri Perak selepas PH menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14.

Salah seorang individu dalam rakaman audio itu yang mengaku mempunyai hubungan baik dengan pihak istana negeri juga berkata usaha untuk menukar penyandang jawatan menteri besar itu hanya menunggu “lampu hijau dari Tun” yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Turut dikaitkan dalam rakaman audio itu ialah Asmuni yang merupakan Pengerusi AMANAH Perak.

Selain itu, rakaman audio tular berkenaan turut mengandungi kritikan yang mengatakan Ahmad Faizal sering lewat menghadiri mesyuarat.

“Tak timbul soal MB lewat datang, kita pagi-pagi ada sesi taklimat. Saya pun kadang-kadang lewat, macam kita datang sidang Dun, adakalanya perlu keluar, ada mesyuarat dan sebagainya. Bukannya balik tidur,” kata Asmuni.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )