Asmuni perbetul salah faham Adun Umno tentang hukum Islam

Asmuni perbetul salah faham Adun Umno tentang hukum Islam

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi mempersoalkan kenyataan Datuk Samsudin Abu Hassan (BN-Ayer Kuning) yang mendakwa hukum kepada individu yang menghina Rasulullah adalah hukuman bunuh.

Kata beliau, nas dan dalil apakah yang digunakan oleh pemimpin Umno itu yang mendakwa di dalam Islam secara jelas menjatuhkan hukuman bunuh kepada pelaku yang menghina junjungan besar Rasulullah SAW.

“Saya tidak tahu nas mana yang Ayer Kuning mengatakan (menghina Rasulullah) boleh membawa kepada hukum bunuh.

“Sedangkan untuk (menjatuhkan) hukum murtad sekali pun, ulamak banyak berbeza pendapat sama ada pergi kepada hukum takzir atau kepada hukum istitabah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Samsudin Abu Hassan ketika sesi soalan lisan di Dewan Negeri Perak, disini semalam.

Sebelum itu, Asmuni menjawab soalan beliau tentang sejauh manakah Kerajaan Negeri Perak mengambil tindakan kepada mereka yang menghina Rasulullah SAW.

Asmuni berkata, berdasarkan rekod dari Mei 2018 hingga kini tiada sebarang kes yang dilaporkan atau didakwa di mana-mana mahkamah di negeri Perak berkaitan penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Asmuni Awi ketika mendegar soalan tambahan berkaitan isu penghinaan Nabi Muhammad di Dewan Negeri Perak, disini semalam.

“Walau bagaimanapun terdapat satu kes pada tahun 2017 di mana seorang wanita telah dihukum penjara selama 6 bulan dan denda RM15,000.00 kerana didapati bersalah menghina nabi di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Asmuni yang juga Pengerusi AMANAH Perak berkata, sesetengah pihak terbawa-bawa dengan sentimen menghina Islam dan Rasululullah hanya kepada bukan Islam.

“Tetapi kita lupa dan tidak sedar di kalangan orang Islam juga banyak melakukan perkara sedemikian.

“Misalnya orang Islam mencampak patung agama lain ke dalam surau, bawa kepala lembu ke masjid. Ini juga adalah merupakan satu bentuk penghinaan kepada agama Islam,” jelasnya lagi.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )