Datuk Bandar Ipoh bakal dipecat selepas ‘hilang’

Datuk Bandar Ipoh bakal dipecat selepas ‘hilang’

IPOH: Kerajaan Negeri Perak dilaporkan akan memecat Datuk Bandar Ipoh, Zamri Man daripada jawatannya itu.

Ini selepas beliau dikatakan ‘hilang’ sejak September lalu dan tidak berkhidmat sehingga ke hari ini.

Memetik laporan The Star Online, Exco Kerajaan Negeri Perak Paul Yong Choo Kiong berkata, Zamri hanya menyerahkan sijil cuti sakit selepas dua bulan menghilangkan diri.

“Situasi berkenaan datuk bandar ini kali pertama (berlaku). Seolah-olah dia hilang.

“Menurut undang-undang, datuk bandar boleh mengambil cuti sakit sehingga 90 hari. (Tetapi) tempoh tiga bulan ini juga sudah habis (digunakannya),” katanya sebagaimana dipetik.

Yong yang memegang potfolio perumahan, kerajaan tempatan, pengangkutan awam, hal ehwal bukan Islam dan kampung baharu berkata, beliau pernah ke rumah Zamri tetapi tidak menemuinya.

“Saya hanya tahu dia tidak sihat daripada Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Bandaraya Ipoh, tetapi tiada maklumat berkenaan keadaan dan lokasinya.

“Saya masih tak dapat hubunginya. Saya benar-benar tak tahu apa masalah dia,” katanya lagi.

Menurut laporan itu, Zamri yang dilantik menjadi datuk bandar pada 2015 dilihat kali terakhir di majlis awam pada satu acara berbasikal pada Ogos tahun lalu.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )