MAPS tidak akan ditutup demi pekerja – MB

MAPS tidak akan ditutup demi pekerja – MB

IPOH: Kerajaan Negeri Perak tidak akan menutup operasi taman tema, Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini, demi menjaga nasib pekerja terutama anak tempatan, demikian tegas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata penutupan taman tema yang dibina secara usaha sama oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri itu akan menyebabkan pekerjanya kehilangan pekerjaan selain menyebabkan ia menanggung lebih banyak kerugian.

“Kita dah cuba beberapa langkah untuk baiki keadaan termasuk kaedah baharu iaitu masuk secara percuma dan hanya membayar setiap permainan (yang digunakan).

“Kaedah baharu ini memberi kesan baik kepada MAPS untuk menjana cukup pendapatan, bayar gaji pekerja dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan peletakan batu asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Tanah Hitam, Chemor di sini, hari ini.

Bermula pada 1 Mac lepas, MAPS memperkenalkan model perniagaan baharu iaitu sistem berkupon bagi semua tarikan di taman tema itu selain pengunjung dibenarkan masuk secara percuma dalam usaha menggalakkan kehadiran lebih ramai pengunjung.

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri memerlukan masa untuk menyelesaikan hutang MAPS yang berjumlah hampir RM500 juta.

Mengenai cadangan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Keranji, Chong Zhemin dari DAP untuk membawa usul laporan audit dalaman khas MAPS pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok, Ahmad Faizal menegaskan ia tidak akan berlaku.

“Saya dan rakan-rakan lain dari Amanah serta PKR berpandangan jika kita kerajaan… desak kerajaan ia tak kena.

“Kita (kerajaan negeri) dah ambil tindakan tegas, sudah buat audit dalaman, lantik syarikat luar buat forensik audit, kemudian saya juga buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk siasat jika ada penyelewengan dalam MAPS,” katanya.

Tambahnya usul yang dicadang oleh Chong itu juga tidak wajar diteruskan kerana isu MAPS merupakan antara yang hangat dan mendapat perhatian ramai Adun sepanjang persidangan DUN yang bermula minggu lepas.

— Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )