Mehmet tetap bangga walau Perak tewas

Mehmet tetap bangga walau Perak tewas

IPOH: Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic tetap berbangga dengan aksi yang ditampilkan anak buahnya meskipun tumpas 0-1 kepada Pahang dalam aksi Liga Super 2019 di Stadium Perak, malam tadi.

Beliau berkata rata-rata pemain yang diturunkan adalah tempatan dan mereka telah memperagakan semangat juang yang tinggi, namun deretan peluang yang terhidang pada kedua-dua babak gagal diterjemahkan ke dalam gawang gol lawan.

“Secara jujurnya, saya amat berbangga dengan para pemain. Mereka bermain dengan penuh karakter dan komitmen. Kita juga mengawal permainan, namun kegagalan untuk menjaringkan gol menyebabkan kita tewas pada malam ini.

“Pahang hanya mendapat beberapa peluang tetapi hasil daripada satu sepakan percuma di hadapan gol kita di babak kedua, mereka berjaya memanfaatkannya sekali gus membawa pulang tiga mata,” katanya pada sidang media sejurus selesai perlawanan.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal pasukan Pahang telah dijaringkan oleh pemain pertahanan import dari Perancis, Herold Mark Goulon pada minit ke-56 hasil situasi kelam kabut di hadapan gawang Perak berpunca daripada sepakan percuma yang dilakukan Muhammad Nor Azam Abdul Azih.

Kemenangan itu membolehkan Pahang berada di kedudukan kedua liga super dengan mengumpul 24 mata manakala Perak kekal menghuni tangga kesembilan dengan sembilan mata.

Selain itu, Mehmet berharap pemainnya melupakan kekalahan berkenaan dan kembali fokus untuk melakar kemenangan apabila berhadapan Kuala Lumpur dalam aksi liga di gelanggang lawan pada 23 April ini.

“Kita perlu bangkit dan meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut. Ia amat penting terutama bagi memperbaiki kedudukan Perak dalam liga,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata walaupun sekadar menang tipis, namun beliau gembira kerana pasukan berjaya membawa pulang tiga mata.

Katanya, pemain berjaya menyerap asakan yang dilakukan Perak terutama selepas Muhammad Nor Azam dilayangkan kad merah pada minit ke-72.

“Kita akui, selepas Azam menerima kad merah, kita agak tertekan dan terpaksa untuk bertahan bagi mengekalkan kelebihan satu gol yang dijaringkan Herold, ia berjaya dan saya fikir menang tipis atau sebaliknya, kita tetap bawa pulang tiga mata,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )