Pendekatan AMANAH lebih kepada akhlak, Pas pula menghukum

Pendekatan AMANAH lebih kepada akhlak, Pas pula menghukum

KUALA LUMPUR: Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menegaskan parti itu mengamalkan pendekatan yang mementingkan akhlak berbeza dengan Pas yang lebih kepada menghukum.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pendekatan akhlak adalah yang lebih baik dan tepat sesuai dengan nilai Rahmatan Lil Alamin.

“Pendekatan AMANAH adalah pendekatan akhlak yang lebih baik dan tepat. AMANAH berbeza dengan hala tuju Pas yang lebih kepada pendekatan hukum.

“Untuk kita datangkan rahmat kepada suluruh alam caranya bukan melalui hukum dan undang-undang tetapi melalui akhlak,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Sepetang Bersama Pimpinan AMANAH di Summit Hotel KL City Centre, Jalan Raja Laut di ibu negara semalam.

Menurut Khalid, rahmat akan dapat dinikmati dan dirasai apabila manusia itu amanah, menunaikan tanggungjawab, adil dan telus.

“Akhlak mulia akan mendatangkan keadilan, kebajikan, manfaat dan kebaikan. Tapi kalau kita hanya tekankan hukum semata-mata tanpa adanya akhlak maka timbul perbalahan, takfiri, fasik, munafik dan pelbagai lagi kerana pendekatan mahu menghukum

“Bagi AMANAH, penekanan kita kepada kepimpinan berakhlak dan beramanah,” tegas Ahli Parlimen Shah Alam itu lagi.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )