Penduduk Pangkor dinasihat jangan jual tanah

Penduduk Pangkor dinasihat jangan jual tanah

IPOH: Menjelang pewartaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai pada 1 Januari 2020, kalangan rakyat di kawasan tumpuan pelancong itu diingatkan supaya tidak menjual tanah kepada pihak lain bagi memastikan mereka mendapat limpahan manfaat daripada usaha kerajaan itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, mereka sebaliknya boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan atau swasta bagi memajukan kawasan tersebut supaya dapat dijadikan sebagai pusat pelancongan utama di negara ini.

Menurutnya Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 22 Januari 2019 telah pun bersetuju untuk penetapan polisi pulau bebas cukai Pangkor termasuklah penetapan lokasi pintu masuk iaitu jeti di Pekan Pangkor sebagai Jeti Awam Pelancong dan jeti di Sungai Pinang Besar sebagai jeti kargo.

“Mengenai item atau barangan yang akan diberikan pengecualian cukai di Pangkor, kita kini dalam peringkat untuk memperincikan perkara tersebut bersama Kementerian Kewangan.

“Setakat ini proses pewartaan masih dalam tindakan Kementerian Kewangan bagi meminda Akta Kastam 1967, Akta Eksais 1976, Akta Cukai Jalan 2018 , Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Zon Bebas 1990 serta semua Subsidiari terlibat,” katanya seperti dipetik di lama Facebooknya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) yang memohon penjelasan sama ada kerajaan telah memutuskan kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bagi melaksanakan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai dan bilakah pelaksanaan itu akan mula beroperasi sepenuhnya di Dewan Negeri Perak di sini, hari ini.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )