Perak bakal wujud peraturan untuk e-Sports

Perak bakal wujud peraturan untuk e-Sports

IPOH: Kerajaan negeri sedang dalam usaha untuk merangka satu undang-undang khusus bagi pentadbiran serta peraturan sukan elektronik (e-Sports) di negeri itu.

Pengerusi Pembangunan Belia dan Sukan Perak negeri, Howard Lee Chuan How berkata usaha tersebut digerakkan atas permintaan daripada para penggiat e-Sports sendiri yang merasakan perlunya pentadbiran serta peraturan.

“Kebiasaannya apabila sembang tentang peraturan, penggiat atau pemain akan tolak atau sedaya upaya kurangkan peraturan atau ‘regulation’ itu.

“Tapi dalam e-Sports, mereka (penggiat) yang menggalakkan kerangka peraturan diwujudkan kerana banyak masalah seperti aspek kesihatan,” katanya.

Lee (DAP-Pasir Pinji) menyatakan demikian semasa menggulung perbahasan menjunjung kasih atas penzahiran titah diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, Lee berkata usaha merangka undang-undang dan peraturan berkaitan e-Sports itu turut mengambil kira kesan sukan alam maya tersebut terhadap pelbagai aspek termasuk sosial serta politik.

Selain itu, Lee juga memaklumkan persidangan DUN bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menjadikan penganjuran Persidangan Industri Profesional e-Sports (EPIC) pada Februari lepas sebagai penanda aras sukan tersebut.

“KBS juga telah menjadikan beberapa perbincangan dalam EPIC sebagai ‘blue print’ e-Sports.

“Perak merupakan pemimpin agenda e-Sports di Malaysia,” kata Lee.

  • Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )