Semua Exco, Adun PH zahir sokongan padu kepada MB Perak

Semua Exco, Adun PH zahir sokongan padu kepada MB Perak

IPOH: Seluruh barisan Exco Kerajaan Negeri Perak hari ini menyatakan sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sokongan padu itu turut dizahirkan oleh semua Adun Pakatan Harapan dalam satu sidang media yang diadakan di Bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan, disini hari ini.

Sidang media itu telah diketuai oleh Adun Manjoi, Asmuni Awi yang merupakan Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak.

Seluruh barisan Exco dan semua Adun Pakatan Harapan menzahirkan sokongan padu mereka kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Asmuni berkata, rakaman audio yang tersebar baru-baru ini terutamanya mengenai khabar angin yang mengatakan ketiadaan sokongan terhadap menteri besar adalah satu propaganda ‘pecah perintah’.

“Saya ingin menegaskan bahawa ini adalah satu perbuatan dan propaganda ‘pecah dan perintah’ serta iri hati terhadap kepimpinan Kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak.

“Bagi menjawab semua keraguan tersebut kami dengan ini menzahirkan sokongan penuh kami yang tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan menteri besar sebagai ketua dan pemimpin Pakatan Harapan Negeri Perak dan sebagai Menteri Besar yang mengetui kerajaan Pakatan Harapan Negeri Perak,” katanya dalam sidang media tersebut.

Asmuni menjelaskan, isu tersebut telah menambahkan perpaduan antara mereka dan menguatkan lagi hubungan kepimpinan kerajaan dan parti sebagai sebuah keluarga demi kepentingan rakyat Perak.

“Bukan sahaja Exco Kerajaan Negeri, malah semua Adun Pakatan Harapan serta kepimpinan parti kami masing-masing berdiri teguh dan memberikan sokongan padu kami terhadap kepimpinan Ahmad Faizal,” jelasnya.

Beliau menegaskan, Kerajaan Pakatan Harapan berjanji kepada rakyat negeri Perak untuk meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan demi untuk memastikan peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyat negeri Perak seluruhnya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )