Hasnul perjelas tentang survival melayu dan Islam di dalam DUN Perak

Hasnul perjelas tentang survival melayu dan Islam di dalam DUN Perak

IPOH: Masyarakat di negara ini khususnya orang melayu ditakut-takutkan dengan dengan cerita-cerita dongeng dalam menghasut rakyat kononnya Islam tergugat dan melayu merempat.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, tindakan menakut-nakutkan rakyat telah menghilangkan sikap rasional dan pertimbangan waras dengan permainan persepsi melampau yang dilakukan oleh pembangkang.

Pelbagai usaha yang dilakukan oleh kerajaan termasuklah membongkarkan segala kebobrokan kerajaan terdahulu terhadap institusi yang berkepentingan kepada orang melayu dan Islam seperti Tabung Haji dan Felda.

“Segala apa yang diusahakan kerajaan pada hari ini, segala laporan dan kertas putih yang dibentangkan, segala laporan audit yang didedahkan, segala tindakan undang-undang yang dilaksanakan, segala bukti yang dikemukakan, adalah tindakan beramanah dan bertanggungjawabnya pihak kerajaan pada hari ini untuk menyelamatkan maruah Melayu dan Islam dari terus diratah dan ditunggang kerajaan terdahulu.

“Mereka menggelarkan diri mereka penyelemat melayu tapi pada masa yang sama mengambil kesempatan untuk kepuasan kemewahan dan laba politik masing-masing.

‘Ini termasuklah sesetengah mereka yang menggelar diri mereka ulama’ dan tahu hukum hakam tapi membisu seolah-olah tidak tahu apa-apa dan berhujah dengan megah, kami puas hati segala laporan yang didedahkan kerajaan terdahulu meskipun bukti demi bukti kesalahan dan penyelewengan didedahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan penggulungan Exco di Dewan Negeri Perak, disini semalam.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO itu menjelaskan, ada juga yang langsung tidak ambil pusing semua laporan antarabangsa tentang penyelewengan besar dana negara.

“Maka benarlah bahawa watak Ustaz Hamadi dalam siri drama Nur, yang trending di kaca televisyen kini, benar-benar wujud. Berselindung di sebalik watak Islam, membela Melayu Islam, tetapi buta bahawa tindakan merekalah yang memburukkan imej Melayu dan Islam.

“Sebagai contoh, pada satu ketika, pembangkang membuat tohmahan bahawa sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, negara ini bakal menjadi negara kristian.

Hasnul Zulkarnain membicarakan soal Melayu dan Islam yang ditakut-takutkan dengan cerita-cerita dongeng pihak-pihak tertentu demi laba politik mereka.

“Dijaja ke kampung-kampung, tanpa mereka sedar, tindakan itu menghina institusi Melayu dan Islam di bawah DYMM Sultan-Sultan seolah-olah Raja-Raja Melayu ini bisu dan tiada upaya untuk mempertahankan institusi penting di bawah mereka. Kerja-kerja ini dilakukan oleh siapa?,” soal beliau.

Hasnul menegaskan, kini kedudukan yang dijamin perlembagaan masih kekal utuh, malah bertambah baik.

Cuma kata beliau apa yang menyedihkan, orang mlayu terus dilemahkan minda mereka untuk terus berpaut dengan hasutan jahat demi laba politik singkat pembangkang kerana itu sahajalah ‘weapon’ yang mereka ada.

“Pembangkang terus membina persepsi, memutar fakta, menyulam fitnah yang sudah boleh dibaca oleh kami sebagai kerajaan. Apa naratifnya? Semua yang dibuat adalah mengikut petunjuk DAP.

“Diulang-diulang berkali-kali untuk naikkan emosi orang Melayu, untuk tanam sifat kebencian, untuk tutup kesilapan dan kerosakan yang mereka lakukan.

“Berbilion wang negara hilang, tiris, rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, semua lenyap dengan bermodalkan PH ditunggang DAP,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )