Jangan bekukan, manfaatkan wang masjid untuk ahli kariah

Jangan bekukan, manfaatkan wang masjid untuk ahli kariah

IPOH: Kerajaan Negeri Perak tidak mahu wang kutipan atau sumbangan
orang ramai kepada masjid sekadar disejukbekukan sebagai simpanan tetap atau sekadar untuk penambahbaikan terhadap pembangunan fizikal atau prasarana atau penyelenggaraan masjid sahaja.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, selain daripada taujuan tersebut, kerajaan mahu supaya penggunaan wang tersebut diperluaskan kepada kebajikan ahli kariah seperti kemudahan mikro kredit kepada ahli kariah yang memerlukan modal untuk menjalankan perniagaan.

Katanya, sebahagian daripada dana tersebut juga boleh digunakan untuk menaja anak-anak ahli kariah yang melanjutkan pelajaran terutama di bidang syariah di mana setelah menamatkan pengajian kelak, mereka boleh diambil untuk bertugas sebagai pegawai masjid.

“Sehubungan dengan itu kerajaan merancang untuk mengadakan satu seminar atau bengkel yang melibatkan pakar-pakar ekonomi dan fuqaha bagi membincangkan dengan lebih terpeinci samada dari segi ‘economic viability’, perundangan dan syariah mengenai penggunaan wang sumbangan atau kutipan yang terkumpul di dalam akaun masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja sempena Sidang DUN Perak, di sini, semalam.

Asmuni berkata, beliau dimaklumkan melalui kajian rambang oleh JAIPk, pada 2016 terhadap 600 masjid di negeri perak di mana sebanyak RM18 juta kutipan derma masjid telah tidak digunakan dan hanya disimpan di dalam bank.

Hasil dari resolusi seminar ini kelak, katanya kerajaan negeri akan mengeluarkan surat garis panduan atau peraturan mengenai penggunaan wang kutipan oleh masjid-masjid ini bagi maksud yang dinyatakan di atas tadi.

“Pihak kerajaan akan meletakkan perkara ini sebagai salah satu KPI utama untuk menilai prestasi kecemerlangan sesebuah masjid itu.

“Masjid juga mestilah berperanan menarik golongan belia, wanita dan kanak-kanak, bukan untuk golongan pesara dan golongan warga emas sahaja,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )