PBT Perak disaran beri rumah percuma kepada miskin tegar

PBT Perak disaran beri rumah percuma kepada miskin tegar

IPOH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) disaran untuk memberi dan menyediakan rumah secara percuma kepada golongan miskin tegar di negeri ini bagi membantu mereka memiliki kediaman sendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, berkata menerusi Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri Perak 2019, pembangunan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) akan dilaksanakan dengan cara dan kaedah baharu.

Katanya, menerusi inisiatif yang akan dilaksanakan itu, PBT akan disarankan supaya dapat memberi dan menyediakan rumah secara percuma kepada golongan miskin tegar.

“Kerajaan negeri sedar yang golongan miskin tegar ini, walaupun rumah kos rendah itu berada di bawah harga RM70,000 namun mereka tetap tidak mampu untuk memilikinya.

“Saya sebagai Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kita akan melancarkan pembangunan RPT secara baharu dan selepas dasar itu dilaksanakan, peserta yang jika kita dapati memang mereka berada dalam kategori miskin tegar, saya menyeru dan sarankan supaya pihak majlis daerah dapat memberikan rumah secara percuma kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan dikemukakan Razman Zakaria (PAS-Gunung Semanggol) yang mahu tahu usaha dilaksanakan kerajaan dalam membantu miskin tegar memiliki kediaman sendiri pada sesi soalan lisan pada Sidang DUN Perak, semalam seperti dilaporkan Berita Harian.

Sementara itu, Choo Kiong berkata, kerajaan negeri sedang giat berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan projek Program Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau juga berharap projek PPR Kampung Chain di Lenggong dan projek PPR Bagan Datuk dapat diteruskan KPKT.

Katanya, ketika ini Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sedang membangunkan 28 unit rumah kos rendah di bawah harga RM70,000 di Kampung Dato’ Nazri serta 109 unit rumah kos sederhana berharga RM90,000 ke bawah di Kampung Changkat Jong.

“Berdasarkan pemantauan dan maklumat daripada Jabatan Perumahan Negara, dari tahun 2013 sehingga 2017, hanya 769 unit rumah kos rendah atau 1.24 peratus daripada jumlah 61,658 unit keseluruhan yang dibina pihak pemaju perumahan swasta di Perak.

“Melalui Penambahbaikan Dasar Perumahan Negeri adalah diharap ia mampu meningkatkan kadar peratusan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana untuk golongan B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah) dan M40 (golongan berpendapatan sederhana),” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )