AMANAH dituduh tidak iktiraf bumiputera orang Melayu

AMANAH dituduh tidak iktiraf bumiputera orang Melayu

IPOH: Fitnah di laman sosial dilihat semakin berleluasa, kini Parti Amanah Negara (AMANAH) dituduh tidak mengiktiraf melayu sebagai bumiputera.

Amang Jamin di laman Facebooknya berkata, AMANAH bukan sahaja tidak mengiktiraf melayu sebagai bumiputera malah tidak mengiktiraf keistimewaan orang melayu.

“Parti Amanah Negara tidak iktiraf bumiputera dan keistimewaan melayu.

“Secara terang mereka doktrin anak muda supaya terhakis perlembagaan pada generasi akan datang,” katanya di dalam muatnaik di laman Facebooknya itu.

Muatnaik itu bersekali dengan satu ‘screenshoot’ berita laman portal MySuara.Net yang bertajuk “Kita Malaysia, Tiada Istilah Bumi Melayu- AMANAH”.

Hasil carian Perak Insights mendapati, Amang Jamin adalah seorang penyokong Barisan Nasional apabila tertera logo parti itu di gambar profil di laman Facebooknya.

Muatnaik itu turut dikongsi oleh ramai netizen pembangkang, antaranya ialah pemilik akaun Facebook bernama Zarol Helmi yang mendakwa perjuangan DAP selama ini telah diambil alih orang AMANAH.

Dakwaan Zarol yang merupakan ahli Pas Kawasan Gopeng telah disanggah oleh beberapa orang netizen termasuklah pemilih akaun Facebook yang bernama Faeez Azahar.

Faeez telah berkongsi kenyataan sebenar berita tersebut yang bertajuk “Sifat Perkauman Tiada Tempat Dalam Pakatan Harapan” tulisan Ketua Pemuda AMANAH Perak, Hasnul Zulkarnain yang dikeluarkan pada 14 September 2017.

Kenyataan itu berkata, Pemuda AMANAH Negeri Perak menempelak kenyataan seorang individu yang berunsur rasis perkauman sempit.

Individu tersebut seperti yang dipetik berkata “Dalam usaha kita nak turun kan Najib… Dalam masa yg sama.. Jgn bagi cina pijak kita.. Tak perlu la nak memuji2 sang cina dikalangan kita.Cina lah yg sepatut nya merayu rayu kepada melayu….. Ini bumi Melayu….”

Hasnul menganggap, kenyataan individu itu cuba mewujudkan persepsi kononnya kaum cina cuba ‘memijak’ orang Melayu di dalam Pakatan Harapan sedangkan perkara tersebut tidak langsung wujud dan ia hanyalah paranoid semata-mata.

“Seperti yang diketahui Pakatan Harapan wujud dengan semangat kesaksamaan antara satu sama lain. Beliau juga menyatakan Malaysia adalah bumi melayu, kami menegaskan tiada istilah seperti itu sebaliknya negara ini adalah bumi kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia,” tegasnya.

Selain Faeez Azahar, terdapat beberapa orang lagi yang menempelak kongsian Zarol antaranya pemilik akaun Facebook bernama Wan Makette yang menganggap tindakan Zarol telah memalukan Islam.

“Kalau sudah berkopiah tp perangai macam org takdak akhlak duk share benda2 sampah ni..baik tanggalkan kopiah tukar dgn pelepah kelapa…buat malu…,” katanya seperti mana dipetik.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )