Ah long: 5,034 sepanduk, poster iklan diturunkan di Ipoh

Ah long: 5,034 sepanduk, poster iklan diturunkan di Ipoh

IPOH: Sebanyak 5,034 keping sepanduk dan poster iklan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ‘Ah Long’ diturunkan menerusi Ops Vulture Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di seluruh kawasan pentadbiran IPD Ipoh, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata operasi yang bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 12 tengah hari itu melibatkan 98 pegawai serta anggota polis dan anggota Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Kesemua kain rentang yang dirampas hari ini akan diserahkan kepada pihak MBI bagi tujuan pelupusan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata berdasarkan statistik penurunan sepanduk dan poster Ah Long, 115 keping dicatatkan pada Januari lepas, 76 keping (Feb), 135 keping (Mac) dan 5,234 keping pada bulan ini.

Menurutnya dari segi tindakan, tujuh kertas siasatan berkaitan kes Ah Long dibuka antara Januari dan Mac tahun lepas, manakala dalam tempoh yang sama tahun ini 19 kertas siasatan dibuka.

“Ini menunjukkan berlaku peningkatan 27.14 peratus, dan daripada 19 kertas siasatan yang dibuka lima kes berjaya diselesaikan manakala bakinya masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah 20 individu berumur antara 23 dan 48 tahun ditahan disyaki terlibat dengan pemberi pinjaman wang tanpa lesen.

-Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )