Sistem penerangan perlu berfungsi hebahkan pencapaian kerajaan

Sistem penerangan perlu berfungsi hebahkan pencapaian kerajaan

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berpendapat aspek penerangan berkesan berkaitan langkah dan pencapaian kerajaan gagal disampaikan ke peringkat akar umbi.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Kerajaan Negeri Perak itu berkata, hal tersebut dibuktikan melalui kritikan sebahagian penyokong PH sendiri di media sosial.

“Sistem penerangan kita itu sendiri gagal mentafsirkan apa yang telah kita laksanakan. Perkara ini betul berlaku.

“Sebab itu, (sesetengah) kawan-kawan kita hentam kita di Facebook. Antaranya, mengapa tidak (pencapaian kerajaan) sampai ke peringkat bawah?

“Apa programnya? i-Suri (Caruman Sukarela Insentif Suri) pun ramai tidak tahu. Ketua Kampung pun tidak tahu apa itu ‘Tabarru’ iaitu bantuan Program Perlindungan Tabarru’ Khairat kematian (di bawah kerajaan negeri Perak),” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu berkata demikian dalam ceramahnya sempena Sepetang Bersama Pimpinan AMANAH di Summit Hotel KL City Centre, Jalan Raja Laut di ibu negara baru-baru ini.

Mengulas persoalan umum penyokong AMANAH tentang apa mereka perolehi sejurus PH menjadi kerajaan, Hasnul berkata, sebahagiannya kini sudah dilantik menjadi pimpinan di pelbagai peringkat.

“Apa yang kami (penyokong) dapat? Kita bebas daripada kongkongan Umno-BN. Ada sebahagian daripada kita menjadi pimpinan masyarakat.

“Mereka inilah penggerak utama untuk membawa konsep Islam Rahmatan Lil Alamin itu. Bagaimana caranya? Sudah tentulah dengan cara kita sentiasa bertemu,” hujahnya.

Ketua Pemuda AMANAH Perak itu berkata, beliau sendiri mengadakan banyak pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri di pelbagai jabatan atau agensi sejurus diamanahkan memegang jawatan portfolio penerangan.

“Dalam tempoh sebulan, saya bertemu dengan setiap pegawai daerah, pimpinan masyarakat, OCPD (Ketua Polis Daerah), (Ketua Balai) bomba dan lain-lain.

“Saya sampaikan apa hasrat kerajaan yang perlu dilaksanakan. Ada pegawai daerah yang memberi reaksi kalau kerajaan bertemu muka lebih awal, bulan lapan (tahun lalu) sudah boleh dijalankan (polisi kerajaan negeri),” katanya.

Sehubungan itu, Hasnul berharap pemimpin kerajaan PH bersabar dan mengelak daripada bersikap mengecewakan rakan-rakan separti.

“Kita perlu tampil dengan sikap penuh bersabar ketika berinteraksi dengan rakan-rakan lain yang

mungkin melihatkan ghanimah di hadapan meninggalkan perjuangan di belakang.

“Jadi, kita perlu mengimbangkan sekadar apa yang kita mampu supaya tidak mengecewakan kawan-kawan yang kita ada ini dan pada masa sama memastikan AMANAH dapat terus menunjangi Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )