Kerajaan negeri sambut baik penubuhan Sekretariat NGO

Kerajaan negeri sambut baik penubuhan Sekretariat NGO

IPOH: Kerajaan negeri Perak menyambut baik hasrat untuk menubuhkan Sekretariat Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sekretariat yang bakal ditubuhkan tersebut bakal menjadi medan penyatu kepada NGO-NGO yang ada di negeri ini.

“Sekretariat yang ditubuhkan tersebut dikatakan bakal menjadi medan penyatu kepada NGO-NGO yang ada di negeri ini.

“Kerajaan negeri juga yakin bahawa setiap NGO yang berada di negeri Perak memiliki kepakaran masing-masing yang sekiranya disatukan, mampu membawa manfaat yang besar kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jalinan Mesra NGO-NGO Perak yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar malam tadi.

Program tersebut adalah anjuran Pejabat Menteri Besar Negeri Perak dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Gabungan Penggerak Ekonomi Malaysia (GPEM).

Ahli Parlimen Tambun itu menjelaskan, kerajaan negeri mempunyai matlamat yang seiring dengan NGO-NGO iaitu membawa kemajuan kepada masyarakat terutamanya dari aspek kemajuan ekonomi, pembelaan kebajikan serta sama-sama mahu melihat kemajuan negeri dan negara tercinta ini.

Katanya, sekiranya gabungan NGO ini dapat duduk bersama-sama dan berbincang untuk mencari kaedah terbaik bagi membantu kerajaan negeri menyampaikan khidmat kepada rakyat, kerajaan negeri sama sekali tidak mempunyai halangan dan sentiasa bersedia memberi sokongan demi kebaikan semua.

“Sekretariat NGO yang akan ditubuhkan nanti mungkin boleh memainkan peranan sedemikian.

“Selain membantu memberi khidmat kepada rakyat, sekretariat ini juga boleh memainkan peranan untuk melakukan kerja-kerja semak dan imbang kepada setiap keputusan diambil kerajaan selain memberi penerangan terhadap rakyat mengenai dasar-dasar kerajaan,” katanya lagi.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )