Institusi masjid berperanan penting dalam kehidupan masyarakat

Institusi masjid berperanan penting dalam kehidupan masyarakat

IPOH: Kejayaan program-program di masjid bergantung kepada kesungguhan dan daya kreativiti Jawatankuasa Pengurusan Masjid.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Asmuni Awi berkata, bagi meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka dari segi pengurusan, kerajaan sentiasa memberikan kursus pengurusan dan penerangan mengikut daerah masing-masing.

Kata beliau, dalam masa yang sama kerajaan melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) sentiasa memantau perjalanan masjid dan bersedia mengambil tindakan termasuk membatalkan perlantikan ahli-ahli jawatankuasa masjid jika mereka gagal melaksanakan tugas seperti yang telah diamanahkan.

“Kerajaan negeri telah selesai melantik kesemua Ahli Jawatankuasa Kariah masjid di negeri ini dimana mereka telahpun memulakan tugas mereka pada 1 Februari 2019 yang lalu.

“Kami tegaskan akan mengambil tindakan kepada mana-mana ahli jawatankuasa yang gagal melaksanakan tugas atau melanggar peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja sempena Sidang DUN Perak baru-baru ini.

Dalam perkembangan berkaitan, institusi masjid sangat memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Islam.

Oleh yang demikian, katanya kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih prasarana masjid dan surau pada tahun ini.

“Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat masjid benar-benar bukan sekadar berfungsi sebagai tempat melakukan ibadat khusus bahkan memainkan peranan yang lebih luas seperti pusat perkembangan ilmu, pusat pendidikan, pusat sehenti untuk bantuan-bantuan kepada fakir miskin dan pusat dakwah samada kepada orang-orang Islam ataupun bukan Islam.

“Program dakwah masjid tidak boleh hanya berbentuk dalaman iaitu seperti kuliah-kuliah atau pengajian yang sedia ada, tetapi masjid hendaklah membanyakkan gerakan dakwah di luar seperti melalui program-program santai di pusat membeli belah dan kawasan rekreasi atau tempat-tempat lain yang menjadi tumpuan ramai.

Jelas beliau, program seperti ini akan membolehkan orang ramai terutama yang bukan Islam, lebih mudah mengenali Islam secara santai.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )