Kerajaan PH lebih adil, bersikap terbuka – Pemimpin Pas

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad lebih adil kepada kerajaan Terengganu pimpinan Pas berbanding Barisan Nasional (BN) termasuk dalam soal bayaran royalti petroleum untuk negeri.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu berkata, kerajaan pusat sudah membayar kepada kerajaan Terengganu royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019 secara terus sebanyak tiga kali berjumlah RM450 juta.

Beliau juga menjelaskan baki keseluruhan bayaran berjumlah antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion pula dijangka akan dibuat pada September.

“Pembayaran royalti petroleum ini akan dibayar dua kali setahun, iaitu pada Mac dan September.

“Dana itu akan kita gunakan untuk bayar gaji dan membayar segala projek pembangunan yang dilakukan kerajaan lalu (BN) yang perlukan pembayaran bermula tahun ini,” kata Ahmad Samsuri seperti yang dilaporkan Astro Awani.

Ahmad Samsuri berkata, dana daripada royalti petroleum itu juga akan membiaya pembinaan loji penapis air, projek Bandar Baru Kuala Nerus dan Bandar Baru Kijal.

“Kita ada projek kerajaan lalu yang perlu pembayaran bermula tahun ini, (perlukan dana) ratus-ratus juta (ringgit), itulah (royalti petroleum) digunakan.

“Semua projek itu dijalankan bertahun lalu oleh kerajaan lalu dan pembayarannya akan bermula sekarang ini. Pembayaran itu akan gunakan royalti petroleum,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Adun Rhu Rendang berkata kerajaan PH tidak menekan Terengganu biarpun ditadbir parti pembangkang.

Selain itu, beliau juga berpendapat kerajaan persekutuan sekarang juga lebih terbuka menerima perbezaan pandangan dalam urusan pentadbiran negeri.

“Kita boleh berbeza pendapat dalam beberapa perkara, kalau kita tidak bersetuju kita nyatakan kita tidak setuju (dalam sesuatu perkara).

“Kalau kerajaan sama tentu ada kekangan dalam hal itu, tetapi bagi kita tidak ada masalah,” katanya dalam satu pertemuan di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *