Masjid dan surau perlu bebas daripada aktiviti politik, tegas JAIPk

Masjid dan surau perlu bebas daripada aktiviti politik, tegas JAIPk

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surau di Negeri Perak hendaklah memastikan tiada penganjuran aktiviti-aktiviti politik termasuk ceramah diadakan di masjid dan surau di dalam kariahnya.

Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam satu kenyataan hari ini berkata, arahan tersebut bagi memastikan agar masjid dan surau kekal menjadi pusat ibadah, pusat ilmu dan penyatuan ummah.

Katanya, mana-mana pihak adalah dilarang mengadakan aktiviti-aktiviti politik termasuk ceramah di masjid dan surau.

“Selain dari itu penganjur-penganjur ceramah agama hendaklah mematuhi peraturan, yang menetapkan sebarang penganjuran ceramah agama hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Pegawai Tadbir Agama Daerah sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ceramah diadakan.

“Arahan ini terkandung dalam Peraturan-Peraturan Pengawasan Pengajaran Agama Dakwah 2013,” tegasnya.

Kenyataan itu menegaskan, mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini, jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda dan penjara.

Menurutnya, peraturan ini telah diperingatkan berkali-kali dan wajar diberi perhatian demi keharmonian masyarakat khususnya umat Islam.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )