Ustaz Abu Hassan Din meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Tokoh agamawan negara dan pendakwah terkenal Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz meninggal dunia awal pagi tadi.

Allahyarham berusia 73 tahun.

Mengikut anak Allahyarham, Mohamad Yusri, bapanya rebah dan tidak sedarkan diri ketika bangun hendak menunaikan solat Subuh.

Beliau berkata Alllahyarham kemudian dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda di sini dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan sebelum Zohor.

Allahyarham Abu Hassan, merupakan bekas imam di Masjid Negara dan pernah menjadi Penasihat Agama kepada beberapa orang Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui laman sosialnya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Mewakili kerajaan negeri Terengganu saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga tuan guru Datuk Seri Abu Hassan Din al-Hafiz yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini.

“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan bersama para salehin,” katanya.

— Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *