10,500 rumah mampu milik bakal dibina di Manjung

10,500 rumah mampu milik bakal dibina di Manjung

LUMUT: Sebanyak 10,500 unit rumah mampu milik akan dibina di Bandar Baru Setia Awan Perdana di Manjung, di sini, dalam tempoh lima tahun akan datang sebagai usaha membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pembangunan yang telah bermula pada 2016 itu merupakan projek rumah mampu milik terbesar di Perak, selain menawarkan kemudahan bertaraf lima bintang seperti rumah kelab, pejabat kerajaan serta taman tasik tropikal.

Katanya projek yang diterajui Taraf Nusantara Sdn Bhd dengan usaha sama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu, akan menjadi satu permulaan bagi perbandaran mampu milik.
“Beruntung sekali para pembeli awal projek ini, kerana ditawarkan rumah mampu milik pada harga serendah RM135,000 sahaja pada tahun 2016, untuk tahun ini, mereka yang berminat boleh memiliki kediaman pada harga RM178,000.

“Jika dibandingkan dengan kemudahan-kemudahan bertaraf lima bintang yang ditawarkan, saya percaya harga itu masih sangat-sangat berbaloi, apatah lagi projek ini terletak di tengah-tengah bandar,” katanya ketika berucap merasmikan perakuan siap dan pematuhan (CCC) Bandar Baru Setia Awan Perdana (Fasa 1) dan menyampaikan kunci kepada 50 pembeli terawal baru-baru ini.

Projek Bandar Baru Setia Awan itu meliputi tiga fasa melibatkan kawasan seluas 2,428 hektar.

Fasa pertama melibatkan 1,147 unit rumah telah siap dibina dan fasa seterusnya akan disiapkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun, dan kesemua rumah mampu milik ini akan dijual bawah RM200,000.

Menyentuh masalah lalat di Manjung dan Sitiawan, Ahmad Faizal berkata masalah itu gagal diselesaikan oleh pentadbiran terdahulu, namun dengan iltizam kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan serta sokongan semua pihak, beliau optimis isu tersebut dapat diselesaikan.

“Kita tahu puncanya dan kita perlu berjumpa dengan penternak ayam di sekitar kawasan-kawasan ini, dan mencari jalan penyelesaian bagaimana nak adakan reban ayam tertutup. Kita dapati sistem penternakan ayam moden dapat selesaikan masalah ini,” katanya.

  • Bernama

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )