KKM senarai 3 daripada 18 pencapaian terbaik sepanjang 1 tahun pentadbiran

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan tiga dari 18 pencapaian terbaik serta inisiatif baharu yang dilaksanakan kementerian itu sepanjang tempoh 10 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata antara pencapaian yang sudah dilaksanakan adalah penyusunan semula perkhidmatan Klinik 1 Malaysia kepada Klinik Komuniti, Projek Perintis Skim Peduli Kesihatan (Peka B40), dan Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan.

Katanya, penyusunan semula Klinik 1 Malaysia kepada Klinik Komuniti bertujuan menyusun keperluan dan mengoptimum sumber manusia dan kewangan selain memberi nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada.

“K1M berperanan memberi rawatan kesihatan ringan kepada masyarakat di kawasan penduduk padat dan berpendapatan rendah. Bagaimanapun sejak penubuhannya, KKM mendapati bahawa bukan semua K1M beroperasi secara efektif.

“Antara kriteria penutupan sesebuah Klinik 1 Malaysia adalah purata kehadiran kurang daripada 40 pesakit satu hari; terdapat fasiliti kesihatan kerajaan lain dalam lingkungan jarak lima kilometer dari sesebuah klinik 1 Malaysia; K1M tersebut tidak terletak di kawasan Projek Perumahan Rakyat; dan dipersetujui oleh Jabatan Kesihatan di negeri berkenaan.

“Setelah melalui proses penilaian yang komprehensif, sebanyak 34 buah K1M akan ditutup kerana memenuhi kriteria di atas. Keputusan ini diambil kira bagi memastikan impak penutipan yang minimum terhadap masyarakat setempat,” ujarnya seperti yang dilaporkan Malaysia Dateline.

Beliau turut berkata, proses penutupan fasiliti K1M adalah secara soft landing iaitu sehingga tamatnya tempoh sewaan premis masing-masing. Manakala kakitangandi fasiliti K1M akan ditempatkan semula ke Klinik Kesihatan Induk masing-masing.

Peka B40 pula akan memberi tumpuan kepada penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pasangannya yang masing-masing berusia 50 tahun ke atas.

“Projek Perintis Peka B40 telah dimulakan pada 15 April lalu dengan fasa ujian operasi, di mana KKM akan menilai kelancaran logistik dan mendapatkan maklumbalas semua pemegang taruh yang terlibat.

“Projek ini melibatkan 80,000 orang dengan peruntukan sebanyak RM100 juta yang menawarkan manfaat-manfaat seperti saringan kesihatan, bantuan alat perubatan, Insentif melengkapkan rawatan kanser dan Insentif tambang pengangkutan.

“Sasaran populasi akan dikembangkan pada masa akan datang, bergantung kepada kejayaan projek ini serta penambahan peruntukan dari kerajaan,” katanya pada sidang media menjelang setahun pentadbiran PH.

Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan adalah membolehkan pakar-pakar dan tokoh di luar KKM berkongsi idea dan pandangan, serta mengetengahkan isu penyelesaian berkaitan sektor kesihatan negara.

Dzulkefly berkata, majlis ini akan melibatkan perbincangan yang tertumpu ke arah mengenal pasti langkah-langkah yang harus diambil ke arah reformasi sistem kesihatan sedia ada termasuk kaedah ke arah penstrukturan semula KKM, transformasi perkhidmatan sistem penyampaian kesihatan, pembangunan modal insan, kerjasama awam swasta dalam penjagaan kesihatan dan banyak lagi.

Manakala, penubuhan laman sesawang ‘Ideas That Matter’ turut dilaksanakan bagi membantu kakitangan KKM untuk menyalurkan terus permasalahan atau berkongsi idea dengannya secara terus.

Dalam pada itu, katanya perkara lain yang sedang masih dalam proses untuk dicapai adalah penubuhan Task Force untuk mewajibkan vaksin, Perkhidmatan Klinik Maya, Penubuhan Rangkakerja Pengawalseliaan Kesihatan Digital, dan Penmbahbaikan Program Pegawai Perubatan Siswazah (Housemen).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *