Syarikat industri perkilangan di Perak digesa guna teknologi hijau

Syarikat industri perkilangan di Perak digesa guna teknologi hijau

LUMUT: Syarikat industri perkilangan di Perak digesa menghasilkan produk menggunakan teknologi hijau yang dilihat lebih menjimatkan dan mesra alam sekitar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata ini kerana penggunaan teknologi hijau mampu mengurangkan kemusnahan alam sekitar dan pelepasan gas rumah hijau seterusnya membantu meningkatkan kadar kesihatan serta persekitaran semula jadi.

“Penggunaan teknologi hijau ini bukan hanya memberi rangsangan kepada persekitaran, tetapi dapat membawa penjimatan terhadap produk-produk yang dihasilkan menerusi teknologi tersebut,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Menurutnya, pihak industri boleh memohon insentif kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sekiranya mahu melaksanakan projek dan perkhidmatan berteknologi hijau.

Mohammad Nizar berkata kerajaan telah menyediakan beberapa insentif bagi menggalakkan pembangunan industri teknologi hijau dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan bagi pembelian aset teknologi hijau dan pengecualian cukai pendapatan bagi penyediaan perkhidmatan dalam teknologi hijau.

Beliau berkata selain industri perkilangan, kerajaan negeri turut mengalakkan industri pertanian dan kawasan penempatan supaya memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi hijau di kawasan mereka.

“Kita mahu mereka melaksanakan teknologi hijau ini sebagai tenaga alternatif yang dapat memberi banyak kelebihan dalam tempoh jangka masa panjang,” kata Adun Sungai Rapat itu.

CATEGORIES
TAGS

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )