‘Food Bank’ ringankan beban belanja siswa

KUALA LUMPUR: Program Food Bank Siswa yang diadakan di beberapa buah universiti awam didapati amat membantu dari segi perbelanjaan mahasiswa daripada golongan keluarga berpendapatan B40.

Bagi pelajar jurusan undang-undang Universiti Malaya (UM), W. Rakaganesan, program makanan ini adalah satu inisiatif yang baik bagi membantu pelajar berlatar belakang keluarga yang susah serta mempunyai masalah kewangan,

“Initiatif ini amat membantu mereka yang mempunyai masalah kewangan yang terhad. Bila berhadapan dengan masalah kewangan, pelajar turut berhadapan dengan masalah untuk mendapat keperluan makanan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagi pelajar jurusan Pengurusan Tanah UM, Fazliana Kasim, 21, Food Bank Siswa ini turut membantu pelajar kurang berkemampuan menjimatkan kos perbelanjaan seharian mereka di menara gading.

“Alhamdulilah dapat kurangkan sikit perbelanjaan harian. Kalau tidak, dalam sehari belanja makan sampai RM10. Jadi, kalau dapat bantuan makanan ini dapatlah kurangkan perbelanjaan kami,” katanya kepada Bernama.

Mohd Syahmi Shazli, 22, pula menganggap manfaat Food Bank Siswa ini turut mengurangkan beban untuk pelajar melibatkan diri daripada membuat kerja sambilan bagi menampung kos sara hidup sebagai pelajar yang sememangnya agak tinggi.

“Ramai pelajar yang tidak berkemampuan melakukan kerja-kerja luar atau sambilan kerana kekangan masa. Jadi inisiatif Food Bank ini amat membantu bagi pelajar susah,” kata pelajar jurusan undang-undang di UM itu.

Program Food Bank Siswa diwujudkan hasil kejayaan program Food Bank Malaysia yang dilancarkan pada Ogos tahun lepas yang sehingga kini memberi manfaat kepada 37,000 individu dari kumpulan B40 di seluruh negara.

Antara universiti yang terlibat ialah UM, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang; Kampus Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor dan UniSZA.

Program Food Bank yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyasarkan pengawalan lebihan makanan dari industri peruncitan melalui pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat, di mana lebihan makanan disalurkan kepada golongan miskin.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *