Hasnul sumbang RM50 ribu kepada veteran tentera melalui dana NGO Perak

Hasnul sumbang RM50 ribu kepada veteran tentera melalui dana NGO Perak

SUNGAI SIPUT: Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 ribu kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Perak.

Beliau mengumumkan sumbangan tersebut ketika merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Lintang di Dewan Orang Ramai Kampung Temin, Sungai Siput, disini semalam.

Menurutnya, peruntukan melalui dana Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu disumbangkan tanda keprihatinan dan sanjungan kepada veteran angkatan tentera yang banyak berjasa dan berkorban kepada negara.

“Kerajaan tidak pernah lupa kebajikan veteran tentera yang telah banyak berjasa menjaga keamanan negeri dan negara.

“Sumbangan ini tidaklah banyak jika dibandingkan dengan jasa yang mereka berikan tetapi ia sebagai tanda ingatan kita semua,” katanya ketika berucap.

Dalam majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5 ribu kepada (PVATM) Cawangan Lintang.

Katanya, sumbangan tersebut adalah untuk meringankan bebanan veteran anggota tentera khususnya yang kurang bernasib baik di negeri ini.

Jelas beliau, Kerajaan Negeri Perak sangat menghargai jasa dan pengorbanan veteran tentera dan kelompok tersebut sentiasa di dalam perhatian kerajaan.

Exco Kerajaan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain menyampaikan sumbangan bantuan makanan kepada seorang veteran angkatan tentera.

“Kami sentiasa mengambil maklum tentang kebajikan para veteran tentera serta perjalanan PVATM di negeri ini.

“Kerajaan negeri sentiasa akan berusaha sedaya mampu bagi memastikan kebajikan veteran-veteran tentera ini terbela,” jelasnya lagi.

Di dalam majlis tersebut, Hasnul yang juga Adun Titi Serong telah menyampaikan bantuan kebajikan kepada veteran angkatan tentera yang memerlukan.

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )